suria

Kes rasuah: Lima anggota JPJ, bekas kakitangan SPAD mengaku tidak bersalah

Kelima-lima tertuduh hadir di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth pada Rabu. - Foto Sinar Harian

LIMA anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dan seorang bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth atas 63 pertuduhan rasuah membabitkan nilai suapan keseluruhan berjumlah RM73,600.

Keenam-enam mereka didakwa menerima rasuah daripada seorang pengarah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri itu.

Kesemua pegawai dan penguatkuasa Gred 19 hingga 29 itu turut berdepan dengan pertuduhan pilihan iaitu memperoleh untuk mereka suatu benda berharga tanpa suatu balasan daripada pengarah syarikat sama bagi tujuan dan tindakan melindungi pemandu lori.

Dalam prosiding yang berlangsung lebih dua jam itu, kesemua tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pengakuan itu dibuat sebaik kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Nizam Zakaria.

Tertuduh dari JPJ Pulau Pinang adalah Ahmad Tajuddin Husin, 35,(dua pertuduhan) Najib Mohamad Tarmizi, 32, (empat pertuduhan), Ahmad Daniel Magendran Abdullah, 41, (36 pertuduhan) Hasrol Sani Abu Bakar,39, (lima pertuduhan), Muhammad Airil Teo Abdullah, 31, (12 pertuduhan) dan bekas anggota SPAD, Ahmad Alamin Don, 33, (12 pertuduhan).

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan utama, kesemua mereka didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport &Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori milik syarikat terbabit (Sam Lian dan Tyre Sdn Bhd) yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ahmad Tajuddin berdepan dua pertuduhan utama dan pilihan membabitkan rasuah bernilai RM800, manakala Ahmad Daniel (36 pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM51,050); dan Najib (empat pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM4,000).

Sementara itu, Hasrol Sani turut berdepan lima pertuduhan utama dan pilihan membabitkan nilai suapan RM9,100; Muhammad Airil (12 pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM6,900), dan Ahmad Alamin (empat pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM1,700).

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tiga buah bank di Bukit Mertajam di antara tahun 2015 hingga 2018 lalu.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama.

Latheefa tiba di mahkamah bagi mendengar sendiri prosiding membabitkan lima anggota JPJ dan bekas SPAD itu.

Sementara itu, bagi pertuduhan pilihan, mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini, lima tertuduh diwakili peguam Datuk Naran Singh manakala Mohd Alamin Don tidak diwakili peguam.

Selvaranjini menawarkan jaminan masing-masing antara RM10,000 hingga RM 35,000 bagi semua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin antara RM5,000 hingga RM25,000 dengan sekurang- kurangnya seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 12 September ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, sembilan penguat kuasa JPJ dan seorang anggota SPAD didakwa atas pertuduhan sama pada 28 Mei lalu. - Sinar Harian

JPJ, SPAD, rasuah

Artikel Lain