Nahas DUKE: 9 Mei keputusan hadanah dua yatim piatu - Semasa | mStar

Nahas DUKE: 9 Mei keputusan hadanah dua yatim piatu

KEPUTUSAN hadanah (hak penjagaan) dua beradik yang kematian ibu bapa dalam kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) pada Mei 2015, sama ada memihak kepada nenek atau ibu saudara, akan diketahui pada 9 Mei ini.

Tarikh itu ditetapkan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Hadi Ahmad pada prosiding pengurusan kes di dalam kamar Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, di Kuala Lumpur pada Isnin.

Peguam Syarie, Mahyuddin Md Zahari yang mewakili plaintif Yusnidah Hussain iaitu ibu saudara dua kanak-kanak berkenaan, Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 11, dan Nur Firuza Aqila Fairuz Nizam, 8, berkata kedua-dua beradik itu juga akan dipanggil memberi keterangan pada hari tersebut berhubung pilihan mereka untuk tinggal bersama Yusnidah atau nenek, Wirda Syamsuddin.

“Sebelum ini kes ini tertangguh disebabkan pertukaran hakim syarie selain terdapat semakan kehakiman di Mahkamah Rayuan Syariah yang difailkan nenek kanak-kanak itu untuk membantah cucu-cucunya memberi keterangan di mahkamah, namun mahkamah telah menolak rayuan tersebut pada 15 Februari lalu,” katanya kepada pemberita.

Pada prosiding hari ini, Wirda yang turut kelihatan di mahkamah diwakili peguam syarie Yusfa Hanis Yusoff.

Turut hadir Yusnidah serta dua kanak-kanak itu.

Pada 11 Ogos 2015, Yusnidah, 51, diberi hak penjagaan sementara ke atas dua kanak-kanak berkenaan.

Yusnidah memfailkan permohonan hadanah pada 2 Jun 2015 mengikut Seksyen 81 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan menamakan Wirda sebagai defendan namun pada 22 Mac 2018, Wirda, 56, telah memfailkan notis permohonan di Mahkamah Rayuan Syariah kerana tidak bersetuju dengan keputusan hakim untuk memanggil dua kanak-kanak tersebut memberi keterangan.

Permohonan itu dibuat selepas pihak defendan bimbang wujudnya bias (berat sebelah) sekiranya kanak-kanak itu memberi keterangan memandangkan mereka kini dalam jagaan sementara ibu saudara mereka.

Dalam kejadian 2 Mei 2015, Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka Nur Firuza Annisa, enam bulan, maut dalam nahas jalan raya semasa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Muda, Batu Caves dekat sini. - BERNAMA

DUKE , hadanah

Artikel Lain