Emam bukti Projek Reben Kuning bukan sekadar perancangan 'di atas kertas' - Semasa | mStar

Emam bukti Projek Reben Kuning bukan sekadar perancangan 'di atas kertas'

Syed Saddiq bersama Emam yang telah bekerja di KBS sejak tiga minggu lalu.Foto: Instagram Syed Saddiq.

TIDAK semua insan mendapat peluang kedua untuk memperbaiki kehidupan, namun Projek Reben Kuning yang dilancarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuktikan ia bukan sekadar perancangan 'di atas kertas'.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjadikan program yang dilancarkan Oktober tahun lalu itu satu realiti apabila telah mengambil seorang lepasan pelajar Sekolah Henry Gurney bekerja di kementeriannya.

Menurut Syed Saddiq,  Emam Safekri Ahmad Ghasi telah berkhidmat di pejabatnya sejak tiga minggu lalu.

"Emam merupakan lepasan Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun atas kesalahan juvana, namun dia tidak pernah mengenal erti putus asa untuk menggapai cita-cita.

"Menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Henry Gurney bukan penghalang untuknya mendapat keputusan yang cemerlang.

"Emam telah berjaya memperoleh keputusan 8A dan 1B dalam SPM pada 2013, seterusnya melayakkan beliau untuk melanjutkan pelajaran di IPTA dalam bidang TESL," ujarnya yang memuat naik gambar bersama Eamam di Instagramnya pada Isnin.

Emam turut bergiat aktif dalam memberi perkongsian ilmu dan intervensi sosial bermatlamat membuka minda dan menjadi inspirasi kepada orang lain untuk memberi suntikan semangat bagi mengukuhkan jati diri golongan yang tersasar.

"Setiap orang wajar diberi #PeluangKedua dalam membantu mereka untuk berubah menjadi insan yang lebih baik pada masa akan datang," ujarnya.

Projek Reben Kuning adalah sebuah inisiatif baharu KBS bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam memberi peluang kedua kepada golongan tersasar khususnya anak muda.



Emam , KBS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain