suria

Bonda Sultan Johor selamat dimakamkan

Foto kredit: Facebook @officialsultanibrahim

JENAZAH bonda Sultan Johor, Tengku Puan Zanariah Almarhum Tengku Ahmad selamat dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini, pada jam 2 petang ini.

Almarhumah disemadikan sebaris dengan makam bondanya, Che Puan Hajjah Fatima Abdul Hamid.

Sebelum pemakaman, bacaan talkin dan tahlil diketuai Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Jenazah Almarhumah tiba di Makam Diraja itu dengan menaiki ambulans peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Sultan Ibrahim turut berangkat mengiringi jenazah bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

Selain itu, berangkat sama Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.

Terdahulu, jenazah Almarhumah turut disemayamkan di Balai Mengadap Istana Bukit Serene untuk upacara penghormatan terakhir.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat memberikan penghormatan terakhir.

Berangkat sama,Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail serta Tuanku Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Berita kemangkatan Almarhumah Tengku Puan Zanariah pada usia 79 tahun malam tadi diumumkan menerusi laman Facebook dan Instagram Sultan Johor, pada jam 8.10 pagi ini.

Almarhum Tengku Puan Zanariah ialah Raja Permaisuri Agong yang kelapan ketika Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Ismail menjadi Yang di-Pertuan Agong dari 1984 hingga 1989.-Bernama

Artikel Lain