suria

Syarikat penerbangan Malaysia tak guna pesawat Boeing 737 MAX

MALAYSIA Airlines memberitahu ia mencari butiran teknikal lebih lanjut mengenai pesawat Boeing 737 MAX daripada pengeluar pesawat itu, susulan nahas pesawat Ethiopian Airlines membabitkan pesawat 737 MAX 8 pada Ahad.

Syarikat penerbangan negara itu berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang kenyataan mengenai nahas tersebut, kerana punca kejadian belum dipastikan.

"Kami bagaimanapun, menulis kepada Boeing, mendapatkan lebih banyak butiran teknikal sebelum penghantaran daripada tempahan kami yang dijangka pada 2020," menurut Malaysia Airlines dalam satu kenyataan, sebagai respons kepada pertanyaan The Star.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada yang terselamat nahas pesawat Ethiopian Airlines

Pesawat 737 MAX, yang dimulakan pada 2017, merupakan versi terbaharu bagi pesawat Boeing 737.

Menurut Malaysia Airlines, pada masa ini ia tidak beroperasi dengan mana-mana pesawat Boeing 737 MAX.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu pada 2016 mengumumkan satu perjanjian membabitkan 50 pesawat 737 MAX, dengan 25 tempahan dan hak pembelian untuk 25 pesawat lagi dalam perjanjian bernilai AS$5.5 bilion.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat Ethiopian Airlines terhempas guna model sama dalam nahas Lion Air

Malaysia Airlines, dalam kenyataannya menyatakan ucapan takziah kepada semua pihak yang terkesan dengan nahas Ethiopian Airlines.

"Ingatan dan doa kami kepada semua yang terkesan oleh tragedi ini," menurut kenyataan itu.

Berdasarkan semakan dengan syarikat penerbangan lain di Malaysia seperti AirAsia dan Malindo, turut mendedahkan bahawa kedua-duanya pada masa ini tidak beroperasi menggunakan mana-mana pesawat Boeing 737 MAX. 

Pada Ahad, sebuah pesawat Ethiopian Airlines jenis 737 MAX 8 dalam penerbangan ke Nairobi, Kenya, terhempas beberapa minit sejurus berlepas, mengorbankan kesemua 157 orang.

Ia merupakan nahas kedua membabitkan pesawat 737 MAX.

Pada Oktober tahun lalu, pesawat 737 MAX yang diterbangkan oleh syarikat penerbangan tambang rendah Indonesia, Lion Air dari Jakarta bagi penerbangan domestiknya terhempas selepas 13 minit berlepas, mengakibatkan kesemua 189 penumpang dan anak kapal terbunuh.

Punca nahas masih dalam siasatan. - The Star

Artikel Sebelum

Artikel Lain