suria

Kes Jong-nam: Siti Aisyah terkejut, gembira dilepas tanpa bebas

"SAYA terkejut dan pada masa sama gembira," demikian kata Siti Aisyah yang begitu beremosi sebaik mendengar keputusan hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam.

WARGA Indonesia yang ditahan selama dua tahun kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol dilepaskan tanpa dibebaskan, pada Isnin.

Hakim Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan menerima arahan untuk tidak meneruskan kes terhadap Siti Aisyah, 26.

Terdahulu pada prosiding berkenaan, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa Pejabat Peguam Negara menarik balik pendakwaan terhadap Siti Aisyah mengikut Seksyen 254(1) Kanun Acara Jenayah.

Sebaik sahaja prosiding selesai, Siti Aisyah dibawa terus ke kereta yang sudah menunggu di lobi mahkamah sambil diiringi pegawai daripada Kedutaan Indonesia dan polis.

Siti Aisyah dan seorang warga Vietnam, Thi Huong, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas, membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 9 pagi 13 Februari 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Empat lelaki Korea Utara yang masih bebas itu dikenali sebagai Mr Chang atau nama sebenarnya, Hong Song Hac, 34; Mr Y (Ri Ji Hyon), 33; Hanamori (Ri Jae Nam), 57; dan James atau O Jong Gil, 55.




Siti Aisyah, Jong-nam

Artikel Lain