suria

PPM tahan 2 lelaki disyaki terlibat aktiviti bom ikan

PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki Pala'u disyaki terlibat dengan kegiatan mengebom ikan di kawasan Laut Singamata dekat Semporna, petang Ahad.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata kedua-dua lelaki berusia 36 tahun itu ditahan selepas bot tempur RH7 PPM Semporna yang menjalankan rondaan Op Pensura mengesan perahu dinaiki suspek pada 5 petang, selepas menerima maklumat dari Unit Risikan Marin berkaitan aktiviti mengebom ikan di perairan tersebut.

"Pemeriksaan awal dalam ruangan bot menemukan peralatan serta bahan letupan seperti satu botol kaca berisi baja ammonia, satu batang ‘detonator kit' dan satu kotak mancis dipercayai untuk digunakan dalam aktiviti mengebom ikan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kedua-dua tahanan serta barang rampasan termasuk perahu ditunda ke Pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7(b) Akta Bahan Letupan 1957.

Dalam pada itu, katanya PPM sentiasa mengalu-alukan semua pihak terutama orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat jenayah kepada pihak polis sebagai langkah kebersamaan dalam menjaga keamanan perairan negara.
-- BERNAMA.

ACP Mohamad Pajeri Ali, Bom Ikan

Artikel Lain