suria

Jakim tolak usaha iktiraf LGBT

Mohamad Nordin Ibrahim. Foto Bernama

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menolak sebarang usaha untuk mengiktiraf lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, pendirian itu selaras dengan pendirian Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad  bahawa Malaysia tidak boleh menerima sistem nilai yang diamalkan di negara barat iaitu LGBT, dan perkahwinan sama jenis.

“Sejak dahulu lagi LGBT tidak diterima di negara kita. Jangan ada mana-mana pihak yang cuba mencemarkan imej Malaysia sebagai negara Islam,” kata dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, demokrasi  tidak bermaksud semua orang boleh buat apa yang disukainya, lebih-lebih lagi apa yang diperjuangkan bertentangan dengan undang-undang, ajaran agama, nilai dan norma masyarakat Malaysia.

“Jakim merasa kesal dengan tindakan sekumpulan peserta perarakan Hari Wanita Antarabangsa di Kuala Lumpur pada Sabtu yang menyokong golongan LGBT dalam negara. Pendirian sama juga turut ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang melarang sebarang usaha untuk mempromosi LGBT,” tambahnya.

Mohamad Nordin berkata, Jakim komited menangani dan membantu golongan yang terjebak dengan budaya LGBT melalui program rawatan dan pemulihan yang dijalankan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai pihak.

Media sebelum ini melaporkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Women's Aid Organization (WAO), Sisters In Islam (SIS) serta penyokong LGBT menyertai perhimpunan sempena Hari Wanita Sedunia berhampiran sebuah pusat membeli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Sabtu.

Perhimpunan itu difahamkan tidak mendapat kebenaran pihak polis. - Bernama

LGBT, Jakim, Mohamad Nordin Ibrahim

Artikel Lain