suria

Permohonan surat pengesahan nikah rakyat Malaysia di Selatan Thai meningkat

PEJABAT Konsul Malaysia di Songkhla, Thailand, merekodkan peningkatan permohonan rakyat Malaysia untuk mendapatkan surat pengesahan pernikahan di selatan Thailand sejak 2011.

Konsul Jeneralnya, Mohd Afandi Abu Bakar berkata sebanyak 4,653 permohonan surat pengesahan pernikahan diterima tahun lepas berbanding 4,375 pada 2017.

Menurutnya, mengikut statistik, pejabat itu menerima 2,885 permohonan pada 2011, sebanyak 3,463 (2012), diikuti 3,485 (2013), 3,831 (2014), 4,081 (2015) dan 4,178 (2016).

Beliau ditemui pada program Persatuan Penunggang Motosikal Berkuasa Tinggi Malaysia-Thailand (MalTha Riders Association) pada Ahad.

Mohd Afandi berkata majoriti permohonan melibatkan pasangan yang telah berkahwin dua atau tiga tahun dan ia diajukan mungkin atas beberapa sebab seperti keperluan mendaftarkan anak.

Kebanyakan permohonan itu, kata beliau, melibatkan perkahwinan sesama rakyat Malaysia di pejabat-pejabat agama Islam di selatan Thailand.

Permohonan surat pengesahan pernikahan itu turut diterima daripada  mereka yang telah berkahwin selama 20 tahun, namun bilangannya kecil, katanya.

Beliau menasihati rakyat Malaysia supaya tidak menggunakan ejen dalam urusan pernikahan yang mungkin menjurus kepada masalah dari segi status perkahwinan kelak.- Bernama

Permohonan kahwin, Selatan Thai

Artikel Lain