suria

Kanak-kanak lelaki meninggal dunia akibat difteria, tidak pernah terima suntikan imunisasi

SEORANG kanak-kanak lelaki berumur dua tahun sebulan meninggal dunia, di sini dua hari lepas, disyaki akibat jangkitan difteria.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kanak-kanak terbabit tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir dan mula mengalami demam, batuk dan bengkak tonsil pada 16 Februari lalu.

Beliau berkata kanak-kanak itu dibawa ke unit kecemasan hospital pada 18 Feb lepas dalam keadaan yang lemah dan dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik untuk bantuan pernafasan serta rawatan antitoksin difteria.

"Malangnya, kanak-kanak tersebut tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia pada 21 Feb 2019 dengan sebab kematian mengalami difteria yang teruk dan kegagalan multiorgan,” katanya menerusi kenyataan, Sabtu.

Beliau berkata ujian pengesanan ke atas sampel calitan tekak kanak-kanak itu menunjukkan kehadiran bakteria Corynebacterium diphtheriae dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini menunggu keputusan makmal untuk pengesahan toksin difteria.

Dr Noor Hisham berkata penyakit difteria disebabkan oleh jangkitan bakteria Corynebacterium diphtheriaeyang menyebabkan gejala sakit tekak dengan selaput di dalam tekak, bengkak tonsil dan kemungkinan berlaku komplikasi bacteremia (infeksi darah) dan endokarditis(infeksi pada jantung) sehingga menyebabkan kegagalan organ, yang seterusnya boleh membawa maut.

Menurutnya pemberian imunisasi difteria dapat mengelak daripada jangkitan atau jika terkena jangkitan, gejala adalah lebih ringan dan tiada komplikasi.

"KKM telah mengambil tindakan bagi membendung penularan jangkitan ini (difteria) termasuk pencarian kes secara aktif di kawasan kediaman kes, aktiviti pemberian imunisasi dan pendidikan kesihatan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata sejak Januari tahun ini sehingga kini, terdapat satu kes difteria telah disahkan di Malaysia.

Beliau berkata tahun lepas, 18 kes dengan lima kematian dilaporkan di negara ini yang empat daripada lima kematian berkenaan didapati tiada menerima imunisasi.

Kesemua kematian difteria bagi tahun lepas itu melibatkan kanak-kanak di bawah 10 tahun, katanya.

Dr Noor Hisham berkata sehubungan itu, KKM ingin menasihati orang awam terutamanya ibu bapa agar sentiasa berwaspada terhadap penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui imunisasi seperti difteria, demam campak, batuk kokol dan lain-lain.

"Pastikan anak anda diberikan imunisasi. Imunisasi adalah cara pencegahan penyakit yang berkesan dan selamat. Perkhidmatan imunisasi ini boleh diperoleh daripada klinik kesihatan kerajaan dan swasta. Kegagalan memberikan imunisasi kepada kanak-kanak bukan sahaja mendedahkan anak anda kepada jangkitan kuman malahan boleh membahayakan kanak-kanak lain," katanya.

Beliau berkata ibu bapa yang masih belum memberikan imunisasi kepada anak-anak mereka dinasihati agar tampil mendapatkan imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan oleh KKM dan bagi kanak-kanak yang tercicir suntikan, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan imunisasi di mana-mana fasiliti kesihatan terdekat.-Bernama

Difteria, imunisasi

Artikel Lain