Penemuan berhala di surau, Muhyiddin arah KPN siasat terperinci - Semasa | mStar

Penemuan berhala di surau, Muhyiddin arah KPN siasat terperinci

Muhyiddin Yassin.

MENTERI Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyiasat secara terperinci pihak yang bertanggungjawab meletakkan patung berhala di Surau Sabilul Huda, Klang.

Menyelar perbuatan terkutuk berbaur hasutan dan amat provokatif yang berniat jahat untuk menghina Islam dan menjejaskan keharmonian kaum dan agama itu, Muhyiddin berkata tindakan tegas berasaskan undang-undang perlu diambil terhadap pihak berkenaan.

“Kementerian Dalam Negeri tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan penghinaan terhadap agama yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat.

“Mereka yang melakukan perbuatan keji ini perlu ditahan mengikut proses undang-undang, didakwa di mahkamah dan dihukum jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook beliau pada Sabtu.

Muhyiddin berkata kejadian penghinaan terhadap agama Islam termasuk mesej-mesej penghinaan terhadap agama Islam yang disebarkan di media sosial sejak kebelakangan ini amat berbahaya dan telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam.

“Yang terbaharu ialah kes penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW. Suspek kes ini telah dikenal pasti dan siasatan telah diselesaikan oleh pihak polis. Saya percaya Timbalan Pendakwaraya akan membuat keputusan mengenai pendakwaan suspek tersebut di mahkamah dalam masa terdekat,” katanya.

Pada Rabu, penduduk Taman Pendamar Indah terkejut apabila mendapati sebuah patung berhala diletakkan bersebelahan pintu masuk utama di Surau Sabilul Huda.

Patung itu dipercayai diletakkan individu tidak bertanggungjawab sebelum disedari oleh siak yang datang untuk membuat persiapan bagi solat Asar di surau berkenaan. - BERNAMA

surau , berhala , Muhyiddin

Artikel Lain