suria

Peniaga ditahan didakwa hina Agong

POLIS Pahang menahan seorang peniaga kerana disyaki menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman sosial Facebook. 

Ketua Polis Pahang, Datuk Zakaria Ahmad berkata, suspek berusia 45 tahun itu ditahan di Kuantan, Sabtu, namun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dekat sini, memandangkan laporan polis terhadapnya dibuat di situ. 

Beliau menambah siasatan dijalankan mengikut Akta Hasutan 1948. 

Pada Jumaat, tular di laman sosial dakwaan seorang peniaga yang menggunakan nama akaun 'Michael Cheah' memuatnaik kenyataan menghina di ruangan komen Facebook ke atas gambar Sultan Abdullah, namun dia bagaimanapun telah memadamkan komen itu. 

Sementara itu, di Jerantut, Umno Bahagian Jerantut diketuai Ketuanya, Datuk Nazri Ngah membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook bernama 'Desmond Yongkor' yang didakwa turut menghina Sultan Abdullah. 

Laporan yang dibuat di IPD Jerantut itu, turut disertai tujuh badan bukan kerajaan (NGO) di daerah tersebut. 

"Penghinaan yang dilakukan amat mengguris hati rakyat negara ini, khususnya kepada rakyat Pahang. 

"Kami mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan segera ke atas individu ini yang begitu biadap mencabar kedaulatan Raja-raja Melayu," katanya. - Bernama

Al-Sultan Abdullah

Artikel Sebelum

Feri tak lebih muatan

Artikel Lain