suria

Feri tak lebih muatan

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan pada Sabtu mengesahkan bilangan penumpang dan kenderaan yang menaiki feri Labuan-Menumbok 1 pada Jumaat, yang menjadi tular di pelbagai platform media sosial, adalah di bawah kapasiti muatan feri berkenaan.

Ketua Penguat Kuasanya, Kapten Maritim Che Adnan Md Isa berkata, senarai muatan yang diperiksa di pejabat operasi perkhidmatan feri tersebut menunjukkan bilangan penumpang yang dicatatkan adalah 290 orang dan 209 kenderaan termasuk motosikal.

Beliau berkata, pihaknya telah menjalankan satu operasi pemeriksaan terhadap semua perkhidmatan feri di pulau itu bagi memastikan antara lain pematuhan standard keselamatan pelayaran dan keperluan bilangan jaket keselamatan penumpang.

Gambar feri berkenaan, yang didakwa membawa muatan berlebihan selepas bertolak dari Labuan jam 6 pagi, tular di media sosial beberapa minit selepas sampai di jeti Menumbok.

Pewarta Bernama di Labuan adalah orang yang pertama menerima gambar tersebut daripada seorang rakannya sebelum ia menjadi tular dan membangkitkan kebimbingan dalam kalangan penduduk Labuan.

Ia kemudian topik hangat dalam kumpulan aplikasi  WhatsApp terbesar di Labuan, 'Kongsi2 Info Labuan’ dan gambar itu dikongsi secara meluas ke seluruh negara kerana bimbang sama ada feri berkenaan mengikuti prosedur keselamatan.

Susulan penularan gambar tersebut, Jabatan Laut Wilayah Persekutuan Labuan dan APMM melakukan pemeriksaan terhadap semua jenis perkhidmatan pengangkutan laut termasuk bot laju di pulau itu. - Bernama

Labuan-Menumbok 1, APMM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain