"Penyelewengan dalam Pengurusan Projek Jiwa Murni masih disiasat" - Semasa | mStar

"Penyelewengan dalam Pengurusan Projek Jiwa Murni masih disiasat"

Mohamad Sabu ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Tertinggi Kertas Putih Pertahanan di Wisma Perwira pada Selasa. Foto: Bernama

SIASATAN terhadap dakwaan kononnya berlaku penyelewengan dalam Pengurusan Projek Jiwa Murni (PJM) tidak pernah ditamatkan, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.“Ia masih dalam siasatan, tidak sampai untuk dibawa ke pengetahuan umum melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP).

“Ia masih di dalam siasatan Tan Sri Ambrin (Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan), ia belum tamat lagi,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Peringkat Tinggi Kertas Putih Pertahanan di Wisma Perwira pada Selasa.

Persidangan meja bulat itu turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Setiausaha Negara dan Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Baru-baru ini dilapor, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat penyelewengan satu projek menaik taraf jalan di pedalaman Sarawak  kerana dikatakan tidak menepati piawaian selain gagal disiapkan mengikut waktu yang ditetapkan dipercayai disebabkan faktor rasuah.

Dilapor tahun lepas, Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan memulakan siasatan pertamanya ke atas Kementerian Pertahanan, kata Pengerusinya Tan Sri Ambrin Buang.

Ambrin berkata jawatankuasa yang ditubuhkan atas persetujuan mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Mei lalu itu memulakan tugas siasatan berkenaan atas permintaan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sendiri.

Siasatan jawatankuasa tersebut akan memberi fokus kepada kes-kes yang mencurigakan di mana-mana kementerian selain mengesyor langkah-langkah yang lebih baik bagi membasmi ketirisan wang negara.

Sebagai permulaan, jawatankuasa itu akan memulakan penyiasatan ke atas beberapa projek di bawah kelolaan Kementerian Pertahanan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2015,  lawatan audit mendapati kualiti kerja Pengurusan Projek Jiwa Murni (PJM)  kurang memuaskan dan ada jalan yang tidak dibina bahu jalan serta longkang mengikut standard jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) disebabkan peruntukan tidak mencukupi.

Kertas Putih Pertahanan yang akan dibentangkan di Parlimen Julai ini adalah dokumen yang bukan lagi diklasifikasikan sebagai ‘sulit’ yang boleh ditatap oleh semua rakyat Malaysia.

Projek Jiwa Murni , Mohamad Sabu

Artikel Sebelum

Artikel Lain