suria

"Jangan tikam kami daripada belakang, jika Armada jatuh, PPBM akan mati" - Syed Saddiq

Syed Saddiq (tengah) hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada yang pertama sempena Perhimpunan Agung PPBM, Sabtu. - Bernama

PUTRAJAYA: Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abul Rahman memberi amaran kepada mereka yang cuba untuk menyingkirkan beliau dan pasukannya.

Syed Saddiq berkata bahawa beliau tahu terdapat ketua-ketua bahagian yang mahu menggulingkan pasukannya daripada bahagian mereka.

Beliau berkata, mereka mesti melakukannya dengan cara yang betul jika mahu melakukan perkara tersebut.

"Jangan tikam kami daripada belakang, bangkitnya Bersatu (PPBM) kerana Armada, jika Armada jatuh, Bersatu akan mati," kata Syed Saddiq.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Armada yang dihadiri kira-kira 1,000 perwakilan dari seluruh negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini pada Sabtu.

Perhimpuan berkenaan adalah PAT pertama diadakan sejak PPBM menjadi kerajaan, iaitu sebagai sebahagian daripada komponen Pakatan Harapan.

Syed Saddiq juga memberi amaran kepada pemimpin parti untuk tidak menjadikan parti itu sebagai Umno dan menjual negara ini untuk kelangsungan hidup politik mereka.

Beliau juga berkata, walaupun para belia PPBM boleh mengangkat keris, bersikap rasis untuk meningkatkan undi dan membawa keranda kaum lain untuk menyemarakkan ketakutan dalam kalangan orang Melayu; parti itu tidak akan menjadi klon Umno.

"Itu bukan gaya Bersatu, jika Bersatu mahu menjadi Umno, langkah Armada dulu.

"Umno jatuh kerana tidak menghiraukan golongan belia mereka. Ia sudah terlambat untuk Umno.

"Jangan beritahu kami bahawa kami tidak mengingatkan para pemimpin Bersatu (agar tidak melakukan seperti Umno).

"Kami adalah parti yang bukan berlandaskan kekayaan. Ini parti untuk orang susah, mereka yang diketepikan dan menjadi mangsa," kata Syed Saddiq.

Menurut beliau, pemuda PPBM komited untuk melaksanakan agenda Melayu, bukan hanya berpesta di hotel lima bintang, sedangkan orang Melayu menderita kemiskinan di tanah sendiri. - The Star

PPBM, Syed Saddiq, Armada

Artikel Lain