Bayi sembilan bulan maut dipercayai didera fizikal, seksual - Semasa | mStar

Bayi sembilan bulan maut dipercayai didera fizikal, seksual

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan meninggal dunia akibat perbuatan tidak berperikemanusiaan suami kepada pengasuhnya sendiri dalam kejadian di Bandar Baru Bangi dekat sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata mangsa meninggal dunia pada 10.30 pagi semalam, selepas dua hari dilaporkan kritikal di Hospital Serdang dekat sini.

“Berdasarkan kenyataan ibu mangsa, semasa dihantar ke rumah pengasuh pada waktu pagi, mangsa dalam keadaan baik.

Namun, mangsa dikatakan mengalami sesak nafas pada sebelah petang dan dikejarkan ke Klinik Bandar Baru Bangi, sebelum dirujuk ke Hospital Serdang.

“Pemeriksaan lanjut ke atas mangsa mendapati ada kesan koyakan baru pada selaput dara mangsa, dan dubur mangsa juga mengalami koyakan,” katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Ahmad Dzaffir berkata hasil bedah siasat Jabatan Patologi Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa disebabkan ‘impak dipercayai objek tumpul terhadap kepala', dengan tempurung kepala bayi pecah.

“Selain itu, terdapat kesan lebam pada bahagian atas kepala kiri dan kanan mangsa,” katanya.

Beliau berkata ibu bapa mangsa yang menetap di kawasan perumahan sama dengan pengasuhnya itu menghantar bayi mereka ke rumah berkenaan sejak September lepas.

Sehubungan itu, Ahmad Dzaffir berkata pihaknya menahan pengasuh serta suaminya yang bekerja sebagai penggunting rambut.

“Kita menahan pengasuh berusia 28 tahun bersama suaminya, 36 tahun, semalam (Jumaat). Ujian air kencing mendapati lelaki itu positif Methaphetamine,” katanya.

Beliau berkata lelaki itu ditahan reman lima hari sehingga Selasa depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

bayi , dera

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

MMA cabar ego Zul Ariffin

'Rapunzel' tak potong rambut 28 tahun