suria

Wan Saiful letak jawatan penasihat khas Maszlee

Wan Saiful Wan Jan. Foto Bernama

PETALING JAYA: Wan Saiful Wan Jan meletakkan jawatan sebagai penasihat khas kepada Menteri Pendidikan, tetapi menafikan ia disebabkan oleh perbezaan pendapat dengan Dr Maszlee Malik.

Wan Saiful, yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata, beliau mengemukakan surat perletakan jawatannya kepada Dr Maszlee minggu lepas dan hari terakhir beliau sebagai penasihat khas pada 30 November ini.

Beliau berkata, keputusan untuk meletakkan jawatan bagi menumpukan perhatian kepada kepimpinan dalam PTPTN serta tuntutan kedudukan politiknya sebagai Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis.

Wan Saiful juga berkata, beliau telah membincangkan peletakan jawatannya dengan Dr Maszlee sejak dua bulan lalu.

"Pengunduran saya adalah kerana kita bersetuju bahawa saya perlu bersikap adil kepada PTPTN, tetapi beliau meminta agar untuk berada lebih lama tetapi sekarang dengan Belanjawan 2019 yang diumumkan dan pembaharuan PTPTN, saya akan pergi dengan persetujuannya," kata Wan Saiful.

Beliau menafikan cakap-cakap bahawa peletakan jawatan itu berpunca daripada perselisihan pendapat dengan Dr Maszlee.

"Saya tidak akan mengatakan bahawa menteri itu sukar untuk bekerjasama. Beliau seorang yang mudah dan tidak mempunyai protokol tetapi beliau mahukan keputusan dan perkara yang perlu dilakukan dengan cepat dan berkesan," katanya.

Wan Saiful berkata, niat asalnya sebagai penasihat khas adalah untuk memberi tumpuan kepada perkara-perkara lain selain PTPTN, tetapi beban kerja beliau meningkat seiring dengan keadaan semasa.

"Saya masuk ke Kementerian Pendidikan pada pukul 8.30 pagi dan meninggalkannya pukul 9 malam, jadi saya rasa tidak mungkin saya dapat terus berkhidmat di PTPTN," katanya.

Wan Saiful berkata, Dr Maszlee masih mempunyai pasukan yang kukuh untuk bekerja dan menyokongnya.

Artikel Lain