suria

Tanah runtuh: Mayat ketiga ditemui

Pasukan Bomba dan Penyelamat melakukan kerja-kerja mencari mangsa di kawasan tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus Paya Terubong Jumaat malam. fotoBERNAMA

GEORGE TOWN: Mayat ketiga mangsa tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di sini ditemukan dan dikeluarkan dari timbunan tanah kira-kira pukul 1.30 pagi Sabtu.

Mayat Khin Aye Khaing, 33, warga Myanmar ditemukan oleh unit anjing pengesan (K9) tidak jauh dari lokasi mayat kedua dijumpai.

Timbalan Komander Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR) kejadian itu Mohd Tarmizi Mat Jaafar yang juga pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM ) Pulau Pinang berkata mayat wanita itu disahkan oleh suaminya yang merupakan pekerja di tapak pembinaan lebuh raya berkembar di Jalan Bukit Kukus.

Beliau berkata mayat wanita itu hanya dikeluarkan sejam selepas dijumpai berikutan terdapat sedikit kesukaran kerana keadaan tanah runtuh yang teruk di situ.

"Mayat wanita itu telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat, " katanya.

Petang Jumaat dua mayat ditemukan iaitu lelaki Indonesia Samsul Asman, 19, dan lelaki Bangladesh Attrul, 35.

Kejadian tanah runtuh pada pukul 1.56 tengah hari Jumaat itu turut menyebabkan tiga cedera dan 10 lagi dikhuatiri tertimbus.

Mohd Tarmizi berkata pihak bomba turut mendapat bantuan daripada pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan operasi mencari serta menyelamat masih diteruskan.

Beliau berkata anjing pengesan juga telah menemui satu lagi plot di lokasi kejadian dipercayai terdapat mangsa insiden tanah runtuh di situ dan pasukan SAR sedang berusaha mencarinya.

Terdahulu, Pengarah JBPM Pulau Pinang Saadon Moktar berkata pihak bomba dengan bantuan anjing pengesan telah mengenal pasti beberapa plot di lokasi runtuhan tanah itu dipercayai mempunyai mangsa tertimbus.

“Kerja mencari mangsa kini tertumpu di beberapa plot terbabit dan berharap mangsa yang tertimbus dapat ditemui.

“Setakat ini, operasi SAR tetap akan diteruskan dengan anggota akan bertugas mengikut jadual tugasan ditetapkan. Kami juga berharap semua mangsa yang masih tertimbus dapat dikeluarkan segera, walaupun terdapat kesukaran ekoran keadaan struktur tanah di lokasi kejadian,” katanya. - BERNAMA

tanah runtuh, Bukit Kukus

Artikel Lain