suria

14 produk kosmetik dikesan ada racun berjadual

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan 14 produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual seperti merkuri, hydroquinone, tretinoin dan diphenhydramine yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik.

Antara produk tersebut ialah Diamond Gold Skin Care (Day/Night Cream), Alora Night Glowing Cream, Karisma Nightcream Kunyit, Seputih Melati Night Cream Whitening, Majaja Serum Channtiq, SYMA Magical Serum, Khumaera Moistskin Cleanser dan Bao Shu Tang Snow Lotus Cream.

"Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual dalam produk berkenaan," kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan, Selasa.

Dr Noor Hisham berkata produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan diphenhydramine merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.

“Ia juga boleh menghalang proses pigmentasi atau depigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultraungu berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit," kata beliau.

Beliau berkata produk kosmetik yang dicampur palsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan kedutan.“

Penggunaan tanpa pengawasan di bahagian kulit yang disapu akan menyebabkan kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari,” katanya.

Beberapa produk kosmetik dicampur palsu dengan diphenhydramine bertujuan untuk memberikan kelegaan sementara bagi kegatalan dan kesakitan akibat gigitan serangga, selaran matahari yang ringan dan kerengsaan kulit.

“Penggunaan diphenhydramine tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh mengakibatkan bahagian kulit yang disapu menjadi lebih sensitif kepada cahaya matahari dan boleh menyebabkan kesan alahan teruk,” katanya.

Manakala bagi produk kosmetik yang dicampur palsu dengan merkuri pula, beliau berkata ia boleh memudaratkan kesihatan kerana merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

"Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Selain itu, pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu.

“Penggunaan  produk yang mengandungi merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata penjual dan pengedar produk-produk kosmetik tersebut diberi amaran supaya menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 boleh didenda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," tambah beliau.

Pengguna dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my.

Sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh diemel kepada [email protected] Bernama

Kosmetik, racun

Artikel Berikut

Artikel Lain