suria

Gobind harap Malaysia jadi 'kerajaan digital' seperti Estonia

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo hari ini berkata kerajaan digital yang dilaksanakan di Estonia adalah sesuatu yang beliau harap dapat dilaksanakan di Malaysia.

Beliau berkata negara di utara Eropah itu telah dinamakan sebagai 'masyarakat digital tercanggih di dunia' oleh sebuah majalah yang mengkhusus bidang teknologi, Wired.Menteri itu berkata beliau difahamkan 99 peratus daripada perkhidmatan kerajaan di Estonia boleh dilaksanakan secara digital sepenuhnya tanpa memerlukan perhubungan telefon atau menghadirkan diri ke pejabat dan tanpa menggunakan kertas.

Beliau yang berkongsi pandangannya itu ketika berucap pada persidangan pelaburan 'Malaysia – A New Dawn' berkata: "Begitulah rupanya kerajaan digital yang saya bayangkan untuk Malaysia. Bagi menjadikan ia satu kenyataan, kita memerlukan kemudahan infrastruktur berkualiti tinggi bertaraf dunia pada harga termampu."

Sambil membayangkan Malaysia akan menjadi sebuah negara yang mampu memberi capaian Internet kepada sesiapa sahaja, di mana sahaja dan pada bila-bila masa, Gobind Singh berkata pada masa ini hanya 18 peratus daripada lapan juta isi rumah yang memiliki capaian kepada perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi.

"Walaupun perkhidmatan jalur lebar mudah alih kini memiliki kadar penembusan yang tinggi, namun kita masih memerlukan lebih banyak infrastruktur jalur lebar tetap berkelajuan tinggi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi digital,"  kata beliau.

Gobind Singh turut memberikan huraian Pelan Fiber dan Penyambungan Negara (NFCP) yang sedang dibangunkan oleh kementeriannya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dengan memberikan sekilas gambaran mengenai sasaran yang telah ditetapkan oleh kementerian.

NFCP menetapkan garis asas liputan perkhidmatan jalur lebar pada kadar 98 peratus di kawasan berpenduduk menjelang 2023, dengan kelajuan minimum jalur lebar 30 Mbps menerusi penggunaan spektrum 700 MHz.

Ia juga menyasarkan perkhidmatan Internet berkelajuan Gigabit di kawasan-kawasan perindustrian terpilih yang berimpak tinggi dan trategik menjelang 2020, dan di semua ibu negeri menjelang 2023."Ini bagi memastikan kawasan-kawasan di mana terdapat penggunaan perkhidmatan 5G yang tinggi sudah bersedia untuk pelaksanaan rangkaian apabila piawaian-piawaiannya telah dimuktamadkan," kata beliau.

Memandangkan spesifikasi 5G New Radio (NR) masih dalam peringkat penyelarasan,  Gobind Singh berkata Cyberjaya dan Putrajaya akan menjadi kawasan ujian bagi perkhidmatan 5G berkenaan.

"Cyberjaya dan Putrajaya telah sedia mempunyai jaringan fiber, menjadikannya lokasi sesuai untuk menguji teknologi 5G," kata beliau dengan menambah, MCMC akan mendahului ujian teknologi 5G itu dengan menubuhkan sebuah pasukan petugas yang turut dianggotai pihak berkuasa tempatan Cyberjaya dan Putrajaya.

"Ujian terhadap perkhidmatan 5G ini diperlukan bukan sahaja untuk menguji teknologinya tetapi juga untuk membolehkan kerajaan mempelajarinya dan menyesuaikan dasar-dasar, peraturan dan perancangan spektrum memandangkan penggunaan teknologi 5G NR adalah sangat berbebeza daripada standard yang digunakan terdahulu," kata beliau.

Selain itu, Gobind Singh berkata untuk tempoh setahun bermula November 2018, syarikat telekomunikasi, vendor, penyelidik, syarikat pemula niaga dan pengguna teknologi akan dipelawa untuk menjalankan percubaan perkhidmatan 5G di Cyberjaya dan Putrajaya bagi meneroka kegunaan praktikal dan kaedah-kaedah pelaksanaannya.

Untuk menangani masalah liputan rangkaian fiber di Malaysia yang masih ketinggalan berbanding pihak lain, menteri itu berkata NFCP akan melupuskan penggunaan rangkaian wayar tembaga menjelang 2023.

Satu lagi sasaran yang ditetapkan di bawah pelan itu ialah 70 peratus daripada sekolah, pejabat kerajaan, hospital, klinik, balai polis dan balai bomba akan menggunakan perkhidmatan rangkaian fiber menjelang 2022.

Gobind Singh juga berkata lesen-lesen pembekal kemudahan (NFP) dan pembekal perkhidmatan (NSP) Internet akan diliberalisasikan untuk menggalakkan persaingan dan memastikan pertumbuhan yang berterusan dalam industri berkenaan serta memberi manfaat kepada pengguna.

Dengan meliberalisasikan lesen-lesen NFP dan NSP, beliau berkata, Malaysia dapat menarik pusat-pusat data utama ke negara ini dan menjadikannya sebagai hab serantau.

Menteri itu juga menyenaraikan beberapa kelebihan Malaysia – kedudukan geografi yang strategik di Asia Tenggara, pemusatan kabel bawah laut dari Amerika dan Eropah,  kestabilan geologi dan ketiadaan keadaan cuaca yang melampau.- Bernama

Gobind Singh Deo, digital

Artikel Sebelum

Klang dilanda banjir kilat

Artikel Berikut

Artikel Lain