Nak hantar isteri bersalin di Prince Court, suami sanggup kerja ‘part time’ - Semasa | mStar

Nak hantar isteri bersalin di Prince Court, suami sanggup kerja ‘part time’

Muhd Nasrudin berkongsi dengan isterinya Nor Izzati membeli van terpakai untuk menawarkan perkhidmatan penghantaran barang.

PETALING JAYA: Suami mana yang tidak mahu memberikan yang terbaik kepada permaisuri hati, lebih-lebih lagi apabila si isteri sedang hamil cahaya mata sulung.

Seorang lelaki tular di Twitter apabila impiannya untuk menghantar isterinya melahirkan bayi mereka di Pusat Perubatan Prince Court mendapat perhatian netizen.

"Saya tengah kumpul duit, nak isteri saya bersalin di Prince Court.

"Saya ada buat servis ambil, hantar, tunda motosikal, pindah barang rumah sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Ulang kicau (retweet) untuk rezeki saya," tulisnya melalui posting yang dimuat naik pada Ahad.

Setakat ini, tweet tersebut sudah meraih 15,924 retweet dan mendapat 5,277 tanda suka (like).

Tweet oleh Muhd Nasrudin yang dimuat naik pada Ahad.

Muhd Nasrudin Mat Lazim, 26, berkata, dia hanya berseloroh ketika memuat naik tweet tersebut kerana sedar kos melahirkan bayi di hospital swasta popular itu adalah tinggi.

"Saya main-main sahaja tentang nak hantar isteri ke sana, tapi kalau memang sudah rezeki kami, sudah tentu saya mahu berikan yang terbaik kepada anak dan isteri.

"Tidak sangka ramai pula yang mendoakan impian kami itu tercapai dan permintaan untuk menggunakan servis saya cukup menggalakkan," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Muhd Nasrudin berkata dia sebenarnya menawarkan perkhidmatan tersebut secara sambilan kerana dia bekerja sebagai pereka grafik sepenuh masa, sementara isterinya seorang setiausaha di syarikat swasta.

Menurut pemuda berasal dari Setiu, Terengganu itu, dia dan isterinya, Nor Izzati Azman, 25, sedang mengumpul wang untuk membeli sebuah van terpakai bagi menjana pendapatan sampingan.

Nor Izzati dan suaminya bakal menimang cahaya mata sulung pada hujung bulan ini.

"Pendapatan bulanan kami memang mencukupi, tapi mahu cari wang tambahan bagi menampung perbelanjaan keluarga selepas isteri saya bersalin nanti.

"Isteri dijangka bersalin anak sulung kami pada hujung bulan ini," ujarnya.

Tambah Muhd Nasrudin, selepas posting tersebut tular, permintaan untuk menggunakan perkhidmatannya penuh sehingga minggu depan.

Bakal bapa itu menetapkan bayaran perkhidmatan berdasarkan satu perjalanan iaitu sekitar RM70, tanpa mengira saiz barangan yang hendak dihantar.

Harga yang dikenakan turut bergantung kepada jarak lokasi dari kediamannya yang terletak di Damansara.

Prince Court

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Banjir kilat landa lebuh raya LDP

Artikel Lain