suria

Dakwaan anjur pesta gay, Khalid akan fail saman

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad akan memfailkan saman terhadap Pengerusi Gerakan Muslimah Malaysia Wan Asshima Kamaruddin berhubung fitnah menyatakan beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menganjurkan pesta gay terbesar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Khalid berkata ia merupakan tuduhan yang berat dan tidak berasas serta telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan secepat mungkin.

“Saya tidak tahu mana perempuan itu dapat maklumat itu. Bila buat tuduhan itu dia pun tidak tunjuk apa-apa bukti yang kononnya saya luluskan pesta gay. Ia merupakan tuduhan yang amat berat kepada saya,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis taklimat media Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIAF 2018) di sini, Selasa.

Wan Asshima didakwa menuduh Khalid membenarkan penganjuran pesta gay besar-besaran melalui video di laman Facebook miliknya baru-baru ini tetapi video itu telah dipadam.

Susulan itu, laporan polis telah dibuat pada Isnin di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi oleh Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Wilayah Zulhazmi Shariff dan Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hisham Fauzi.

Kedua-dua laporan polis itu merujuk kepada fitnah yang didakwa dibuat Wan Asshima di laman Facebooknya terhadap kedua-dua menteri berkenaan baru-baru ini.

Laporan dibuat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah dan menghasut kebencian dalam masyarakat. - BERNAMA

Khalid Abdul Saman, pesta gay, saman

Artikel Lain