suria

Nelayan parah diserang buaya berjaya tunggang motosikal ke hospital, kemudian terus pengsan

Seorang lelaki parah diserang buaya ketika memancing di tepi sungai berhampiran Kampung Kurnia, Batu 3 di Kuantan Jumaat lalu. Foto Twitter bernamadotcom

KUANTAN: Seorang lelaki parah selepas dipercayai diserang seekor buaya ketika berada di tebing sungai berhampiran Kampung Kurnia, Batu 3 di Kuantan, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, Hamid Mohd Ismail, 42 yang beralamat di rumah kedai Kampung Kuala Pahang, Pekan cedera pada bahagian muka dan dada.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Ahmad Azhar Mohammed ketika dihubungi mengesahkan kejadian namun berkata kes masih dalam siasatan.

"Mangsa yang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan baru sedar tengah hari tadi dan kita telah mengambil keterangan dan maklumat awal berkaitan mangsa dan kejadian.

"Mangsa mendakwa dirinya seorang nelayan dan pergi ke kawasan berkenaan untuk memancing sebelum diserang reptilia tersebut ketika mahu mengambil air di tebing sungai," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun berjaya melepaskan diri daripada buaya tersebut dan menunggang motosikal bersendirian ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dalam keadaan cedera.

"Mangsa dilaporkan pengsan sebaik tiba di hospital dan kini masih menerima rawatan," katanya.

Bagaimanapun katanya, mangsa tidak dapat menceritakan dengan lebih jelas tentang kejadian itu kerana masih dalam keadaan lemah dan trauma.

"Perhilitan sedang membuat pemantauan di kawasan kejadian selain memberi taklimat berkenaan keselamatan kepada penduduk di kawasan sekitar," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menyiasat dakwaan yang mengatakan  orang ramai turut menemui guni berisi anak buaya di kawasan kejadian. - Bernama

buaya

Artikel Lain