suria

100 hari kerajaan PH: Teks ucapan Tun Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Berikut adalah teks penuh ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersempena 100 hari Malaysia diterajui kerajaan Pakatan Harapan.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua rakyat Malaysia.

Lebih 100 hari yang lalu kita berusaha untuk menukar Kerajaan Barisan Nasional yang dikenali dunia sebagai sebuah kleptokrasi iaitu sebuah kerajaan pencuri. Berkat semangat rakyat yang begitu kuat kerajaan kleptokrasi ini dikalahkan, sesuatu yang dianggap sukar dan tidak mungkin berlaku.Sesungguhnya kejayaan rakyat amatlah besar dalam sejarah politik Malaysia.

Kejayaan ini pasti akan tercatat di dalam lipatan sejarah negara sebagai satu kemenangan rakyat yang tidak ada tolok bandingannya.Ada yang anggap kemenangan ini sebagai “miracle” atau keajaiban. Lebih-lebih lagi apabila ia dicapai tanpa pertumpahan darah ataupun pertembungan antara rakyat dengan pihak berkuasa seperti yang kita saksikan di serata dunia.

Namun setelah kalah BN masih cuba mengeruhkan keadaan dengan memainkan politik perkauman dan agama, bahkan cuba mengheret kedudukan Raja-Raja supaya menimbulkan kebencian terhadap Kerajaan Pakatan Harapan. 

Setiap pelantikan ke jawatan penting dalam Kerajaan dicemuh dari kaca mata bangsa dan agama. Mereka lupa apabila mereka melantik pegawai, yang diutamakan ialah sokongan tidak berbelah bahagi kepada parti mereka.Undang-undang yang mereka cipta bertujuan menjadikan mereka kebal dan menekan musuh mereka tanpa alasan.

Akhbar dan media kepunyaan mereka diguna untuk menutup salah laku dan pembohongan mereka. Setelah Pakatan Harapan ambil alih kerajaan, kita dapati kerosakan yang dilakukan oleh mereka jauh lebih buruk dari yang disangka oleh kita. 

Semua jabatan dihasut dan diperguna oleh mereka untuk membuat kerja parti mereka dan bukan pentadbiran negara dengan baik. Hutang mereka berjumlah trilion Ringgit, angka yang tidak pernah kita dengar dahulu. Namun dengan sombongnya mereka nafi yang mereka melakukan kerosakan ini. Dengan tidak merasa malu mereka mengaku wang berjuta Ringgit yang dikesan adalah untuk parti mereka. 

Bagaimana mereka boleh ada sebegitu banyak wang tidak dijelaskan.Secara langsung juga kita menamatkan falsafah “cash is king” atau pun wang itu raja. Wang hanya menjadi raja kalau memiliki jumlah yang besar. Untuk parti politik mendapat wang yang sebegini banyak, tidak ada jalan lain dari mencuri.Beban yang besar yang ditinggal oleh pemerintah dahulu ialah hutang bertrillion Ringgit.

Untuk membayar faedah sahaja boleh jadi kita muflis. Apatah lagi dengan bayaran hutang pokok.Kalau hendak cerita tentang kesalahan pemerintah dahulu, masa berhari-hari  diperlukan. Oleh itu kita akan tumpukan kepada tindakan memenuhi janji dalam manifesto kita.

Kita bermula dengan menghapuskan GST. Tetapi untuk membawa balik Sales and Service tax memerlukan kelulusan oleh Parlimen. Proses mendiri Kerajaan dan persidangan Parlimen mengambil masa. Sementara SST menunggu kelulusan Parlimen, maka cukai SST tidak dapat dikutip. Dengan itu harga kereta dan lain-lain menurun dan rakyat menikmati keadaan jual murah.

Walaupun demikian proses di mula untuk menunaikan janji-janji yang lain.Harga petrol biasa dikekalkan melainkan RON97 yang kurang diguna.Skim KWSP untuk suri rumah bermula pada 15 Ogos 2018.Kajian terperinci mengenai projek-projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing telah dimulakan.

Pelaksanaan projek kereta api laju High Speed Rail (MyHSR) telah ditangguhkan pada 30 Mei 2018.Pelaksanaan Mass Rapid Transit (MRT) Fasa 3 dibatalkan pada 30  Mei 2018;Projek kereta api East Coast Rail Link (ECRL) telah ditangguhkan  pelaksanaannya pada 3 Jun 2018;Projek Multi Product Pipeline (MPP) dan Trans Sabah Gas Pipeline (TSGP) telah ditangguhkan pada 5 Julai 2018.

Menyamaratakan gaji minimum di seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum beransur-ansur dalam masa 5 tahun telah bermula. Memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40. 

Memorandum Jemaah Menteri berkaitan perkara ini sedang disediakan. Suruhanjaya Siasatan Diraja 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji tidak dilaksana kerana siasatan pelbagai agensi sedang dijalankan dan mahkamah akan tentukan keputusan kes.

- Siasatan ke atas 1MDB oleh Pasukan Khas telah dimulakan   sejak 21   Mei 2018; - Siasatan ke atas Felda, Mara dan Tabung Haji juga telah dimulakan; - Kepimpinan 1MBD telah dirombak sejak 28 Jun 2018; dan  - Kepimpinan Felda dan Tabung Haji telah dirombak  sejak 14 Mei  2018.

Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 telah dipersetujui dan akan dibentuk.Berkaitan pinjaman PTPTN pemansuhan senarai hitam telah bermula pada 24 Mei 2018 hingga 8 Jun 2018 melibatkan seramai 429,945 peminjam.

Selain itu, jumlah pelajar cemerlang yang diberi diskaun atau lupus hutang sehingga 31 Mei 2018  ialah seramai 51,272 peminjam melibatkan amaun sebanyak RM1.56 bilion.

Di dalam usaha menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda terdapat 3 mekanisme yang dikenal pasti iaitu: a) insentif pelupusan sebahagian hutang tanam semula yang ekstrem melalui penyediaan dana sebanyak RM300 juta untuk 5 tahun; b) pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang bersama sistem Felda melibatkan 90,418 peneroka dengan kos sebanyak RM452 juta; dan c) insentif pelupusan sebahagian baki pinjaman saham FGV melibatkan 77,972 peneroka dengan kos sebanyak RM103 juta.

Inilah kemajuan berkenaan 10 janji asas 100 hari dalam manifesto. Satu lagi yang berjaya diselesaikan dalam tempoh 100 hari ialah janji untuk menyelesaikan masalah kerakyatan kaum India dan kaum lain yang memegang kad pengenalan merah berumur 60 ke atas sedang dilaksanakan. Bagi kaum India, hampir 3,500 orang akan diberi kad pengenalan biru.

Selain dari janji manifesto dalam tempoh 100 hari, beberapa perkara lain yang di capai memperlihatkan pendekatan yang holistic atau lebih menyeluruh yang telah dilaksanakan.

Antara lain, pelantikan Datuk Seri Ronald Kiandee, Ahli Parlimen Pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara. Ini memperlihatkan kesediaan parti pemerintah diteliti oleh ahli pembangkang.

Laporan Auditor General mengenai 1MDB tidak lagi diletakan di bawah Akta Rahsia Rasmi seperti yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu. Kerajaan ini mengamal Kerajaan terbuka dan tidak akan sembunyi laporan jenayah oleh sesiapa, termasuk anggota Kabinet.

Kami juga telah menubuhkan satu Jawatankuasa untuk mereformasikan institusi-institusi yang menjadi tunggak Negara dan sukacita saya melaporkan hampir 300 cadangan yang diusulkan oleh jawatankuasa itu telah diterima.Kami juga telah berjaya mendapatkan pengampunan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang telah kami janjikan.

Badan-badan pencegah rasuah dan integriti negara telah diperkukuhkan. Semua anggota Kerajaan dan wakil rakyat perlu isytihar harta.Kerajaan telah merealisasikan 21 janji atau 35 peratus daripada 60 janji dalam manifesto Pakatan Harapan  untuk membebaskan Malaysia daripada isu  rasuah dan menentukan tadbir urus yang baik.

Usaha ini memerlukan satu rancangan bersepadu yang drastik dan menyeluruh. Komitmen Kerajaan mencapai prinsip mahu Malaysia dikenali kerana integriti, dan bukannya kerana rasuah. Antara perkara yang telah dilaksanakan setakat ini, termasuklah: 

a. Mewujudkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR). 

b.Menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) bagi membolehkan usaha menyelamatkan Malaysia daripada rasuah dapat dilaksanakan dengan segera dan berkesan serta menyeluruh. GIACC diberi mandat untuk mengadakan pertemuan dengan kesemua Ketua Setiausaha Kementerian bagi mengenal pasti risiko ancaman rasuah berdasarkan isu-isu yang telah dikenal pasti oleh organisasi masing-masing. Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Jabatan dikehendaki secara peribadi memikul tanggungjawab dan berbincang dengan GIACC bagi melakar pelan tindakan untuk mengatasi masalah atau isu yang dikenal pasti.

c. Menggubal Pelan Anti Rasuah Nasional bagi membolehkan isu-isu governans, integriti dan antirasuah ditangani secara menyeluruh.

d.Satu undang-undang yang membolehkan tindakan punitif diambil terhadap pegawai-pegawai yang sengaja menyebabkan ketirisan, pemborosan atau pembaziran kepada dana Kerajaan akan digubal bagi tujuan ini.

e.Bagi membanteras politik wang, Rang Undang-undang Pembiayaan Politik sedang digubal. Sebuah pasukan khas yang diketuai oleh GIACC telah dibentuk untuk mengemukakan draf akta pembiayaan politik kepada Kabinet.

f.Satu dasar mengenai pemberian hadiah dan derma kepada anggota pentadbiran awam (melibatkan menteri sehingga setiausaha-setiausaha politik) sedang digubal. Pada masa sekarang, dasar ini hanya memfokuskan kepada penjawat awam.

g.Kerajaan telah memutuskan agar Anggota Pentadbiran (menteri dan timbalan menteri) tidak lagi mengeluarkan Surat Sokongan ke atas mana-mana projek atau urusan permohonan. Ketua jabatan juga diminta tidak lagi menganggap surat sokongan sebagai arahan atau keputusan Anggota Pentadbiran.









    




Mahathir, PH

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ibrahim tubuh parti Putra

Artikel Lain