suria

"Kazim bukan jenis meminta, tapi..." - Abang

PETALING JAYA: Hanya sebahagian daripada Bangunan Tahfiz Darul Barakah milik pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias yang akan dijual.

Abang Kazim, Datuk Najmuddin Elias yang mengesahkan perkara itu kepada mStar Online berkata, berdasarkan maklumat berkaitan Darul Barakah yang diketahuinya, hanya bangunan yang menempatkan pelajar tahfiz sahaja akan diserahkan kepada pengurusan baharu dalam usaha mengurangkan kos operasi pusat pengajian itu.

"Setiap bulan kos mencecah hampir RM180,000. Keadaan kesihatan Kazim pula sudah tidak seperti dulu, ceramah pun tak banyak.

"Perubahan ini tidak akan menjejaskan pelajar tahfiz sebaliknya hanya akan bertukar pengurusan baharu sahaja, tapi saya pun tak pasti lagi," katanya ketika dihubungi, Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Kazim dakwa ceramah disekat, nak jual pusat tahfiz

Selain Darul Barakah, sebahagian lagi bangunan yang dikenali sebagai Kompleks Barakah yang menjadi pusat untuk pengajian pondok tidak akan dijual, katanya.

Najmuddin dihubungi untuk mengulas mengenai posting di laman Facebook adiknya, yang memberi gambaran mengenai penutupan Bangunan Tahfiz Darul Barakah.

Kazim dijangka akan mengadakan sidang media berhubung isu ini pada Rabu.

Dalam pada itu, Najmuddin juga berharap agar orang ramai dapat memberi sumbangan agar kelangsungan pusat tahfiz itu tidak terjejas.

"Kazim ni bukan jenis meminta. Dia akan usahakan sendiri semuanya. Namun jika anda yang bermurah hati, saya harap akan ada yang membantu.

"Sekiranya Darul Barakah bertukar pengurusan sekali pun, saya juga berharap agar Kazim boleh dilantik sebagai penasihat supaya ia kekal berjalan seperti biasa," ujar Najmuddin lagi.

Desas-desus mengenai penutupan Bangunan Tahfiz Darul Barakah mula bertiup kencang selepas Kazim memuat naik satu posting di laman Facebook pada 4 Julai lalu.

Malah, terdapat pula satu entri di laman mudah.my yang mengiklankan Kompleks Darul Barakah yang terletak di Manjoi, Perak dengan harga RM5,000,000.

Hasil semakan, entri iklan mengenai Kompleks Darul Barakah itu dimuat naik oleh seorang individu bernama Ruzanna.

Bangunan berkeluasan 27,770 kaki persegi yang dibina atas tanah seluas 1.7 ekar itu mempunyai tiga blik kuaters guru, enam bilik darjah, empat bilik dorm, asrama, kantin, pondok pengawal, stor, surau dan sebuah banglo yang digunakan sebagai pejabat pengurusan.

Harga RM5,000,000 yang ditetapkan masih boleh dirunding dan pengiklan turut meninggalkan nombor telefon untuk mereka yang berminat.

Artikel Berikut

Budak 10 tahun maut didera

Artikel Lain