suria

PDRM tunggu lampu hijau Macau berkas Jho Low

Fuzi Harun (tengah) dan Pengerusi Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM) Tan Sri Hussin Ismail (hadapan tiga, kanan) bergambar bersama perwakilan KPDRM pada Mesyuarat Agung Perwakilan KPDRM Tahunan ke-83 pada Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu respons pihak berkuasa Macau bagi memberkas ahli perniagaan kontroversi yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jho Taek Low atau lebih dikenali Jho Low yang dipercayai berada di sana.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata beliau difahamkan ahli perniagaan itu telah melarikan diri dari Hong Kong ke Macau dengan menaiki feri.

“Sebelum ini, kita telah menghantar pasukan ke Hong Kong bagi menjejaki Jho Low setelah dimaklumkan oleh pihak berkuasa di sana, namun apabila tiba di sana, suspek telah melarikan diri menuju ke Macau melalui jalan laut.

“Bagaimanapun, kita telah menghantar permohonan rasmi ke Macau berikutan kes ini. Kita juga telah menghantar notis merah bagi memohon bantuan negara-negara lain seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, India, Myanmar, China, Hong Kong melalui Polis Antarabangsa (Interpol) dan Taiwan melalui saluran diplomatik.

“Sekarang, kita perlu menunggu respons daripada Macau bagi membolehkan kita mengambil tindakan dalam memburu Jho Low,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke-83, Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM) di sini, Selasa.

Mesyuarat itu bagi membincangkan prestasi kewangan terkini koperasi berkenaan.
Pada 5 Julai lepas, polis mengesahkan Jho Low yang sedang diburu berhubung siasatan skandal 1MDB sudah melarikan diri ke Macau.

Pada 15 Jun lepas, Jabatan Imigresen telah membatalkan pasport milik ahli perniagaan itu atas permohonan SPRM berikutan Jho Low diperlukan bagi membantu siasatan skandal itu. - BERNAMA

Jho Low, 1MDB, Macau

Artikel Sebelum

Budak 10 tahun maut didera

Artikel Lain