suria

Pakej melancong hadiah undian Hai Nama Saya...?

PETALING JAYA: Tidak lama lagi Proton akan mengeluarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama keluaran syarikat itu.

Bagi menyambut kedatangan 'ahli baharu', Proton mengajak seluruh rakyat Malaysia turut serta dalam misi mencari nama untuk SUV berkenaan.

Apa yang lebih menarik, mereka yang menyertai undian tersebut berpeluang memenangi hadiah bernilai RM100,000.

Bermula 2 April, orang ramai boleh membuat undian dalam talian menerusi laman Facebook rasmi Proton (www.facebook.com/ProtonCarsOfficial).

Empat nama yang dicadangkan Proton untuk diundi oleh orang ramai ialah X7, PX7, X70 dan X700.

Pengundian yang berlangsung selama sebulan itu membabitkan hadiah bernilai RM100,000 dan lima pemenang utama akan dipilih berdasarkan makna terbaik yang diberikan di sebalik nama yang diundi.

Pakej hadiah termasuk undangan eksklusif VIP pada majlis pelancaran serta diberi penghormatan untuk menjadi antara individu pertama memandu uji SUV berkenaan.

Selain itu, orang ramai juga diberi peluang untuk menyumbang idea kreatif dalam memberi cadangan nama dan pemenang akan dihadiahkan pakej pelancongan untuk dua orang selama empat hari tiga malam ke Hangzhou dan Shanghai.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Proton, Abdul Rashid Musa berkata, pengenalan SUV berkenaan merupakan simbol pencapaian untuk negara kita.

"Disebabkan itu, kami mahu berkongsi perkara ini dengan semua rakyat Malaysia dan menawarkan ganjaran kepada mereka yang turut serta dalam undian nama ini," ujarnya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, SUV berkenaan merupakan model pertama yang dibangunkan oleh Proton bersama Geely.

Ia merupakan SUV premium pertama bagi segmen C yang dilengkapi ciri-ciri sistem keselamatan pasif, aktif dan kognitif yang biasanya hanya didapati pada kereta jenama lain yang lebih premium.

Undian akan berakhir pada 11.59 malam, 30 April ini dan pemenang akan diumumkan sebelum tarikh pelancaran SUV tersebut.



Proton, SUV, Shanghai

Artikel Lain