suria

Bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor Meninggal Dunia

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Mohd Daud Tarihep (gambar) menghembuskan nafas terakhir pada usia 66 tahun di Hospital Seri Manjung, Perak pada awal pagi Selasa.

Anak sulung Allahyarham, Mohd Haminar Rashid, 41, mengesahkan mengenai berita itu menerusi laman Facebook dan memaklumkan bahawa bapanya meninggal dunia pada pukul 2.49 pagi dan jenazah akan dibawa pulang ke Shah Alam, Selangor.

"Jenazah akan dibawa ke kediamannya bertempat di Shah Alam. Dijangkakan tiba selepas Zohor, insyaAllah.

"Semoga amal ibadahnya diterima disisi Allah SWT, dilapangkan dan diterangi kuburnya, dan segala kekhilafan Almarhum diampuni Allah SWT serta keluarga yang ditinggalkan diberi ketabahan," tulisnya.

Memetik laporan Bernama, Mohd Haminar Rashid berkata, bapanya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) kira-kira dua minggu lalu selepas mengalami serangan jantung.

Sebelum ini, bekas Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor itu pernah dilaporkan menderita kanser usus tahap dua termasuk sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Mohd Daud disahkan menghidap kanser pada November tahun lalu.

Daud Tarihep

Artikel Lain