suria

Suami Hanya Lulusan PMR, Tapi Bukan 'Biawak Hidup'!

Pesanan peribadi yang dihantar oleh Azraei Fikrey Ehsan mencuri tumpuan seorang personaliti popular untuk membantu mempromosikan perniagaannya di Instagram.

PETALING JAYA: Kesungguhan seorang lelaki menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan enggan menyusahkan isterinya yang bergelar seorang penjawat awam telah mencuri perhatian seorang personaliti televisyen popular, Ahmad Fedtri Yahya.

Pesanan peribadi yang dihantar oleh Azraei Fikrey Ehsan Zainal, 27, kepada pengacara itu menerusi Instagram disifatkan sebagai unik sekali gus mendorong beliau untuk membantu mempromosikan perniagaan lelaki itu pada Jumaat.

"Sebab awak unik, saya tolong promo (iklan). Katakan tidak kepada #biawakhidup," tulis Ahmad Fedtri.

Pengacara itu dipercayai menggunakan tanda pagar 'biawak hidup' setelah beberapa wanita tampil menceritakan masalah rumahtangga mereka yang didera secara fizikal dan terpaksa menanggung suami yang tidak bekerja.

Menerusi pesanan peribadi tersebut, Azraei Fikrey Ehsan memberitahu, dia tidak mempunyai pekerjaan kerana hanya berkelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Pesanan yang dihantar oleh Azraei Fikrey Ehsan kepada Ahmad Fedtri pada Jumaat.

"Saya tidak mahu isteri malu sekiranya saya mendapat pekerjaan yang kawan-kawannya bakal ketawakan.

"Jadi, saya telah usahakan perniagaan percetakan baju dan jersi bola sepak menggunakan hasil simpanan saya," tulisnya yang juga menjual nasi lemak secara kecil-kecilan.

Lelaki berkenaan ketika dihubungi mStar Online berkata, dia dan isterinya berasa syukur apabila kisahnya itu dikongsikan oleh pengacara tersebut di Instagram dan mula menerima tempahan daripada orang awam yang berminat untuk membeli nasi lemak daripadanya.

Ujar Azraei Fikrey Ehsan, dia menjalankan operasi mencetak baju di rumahnya yang terletak di Kajang kerana belum memiliki premis sendiri.

Pemuda yang baru mendirikan rumahtangga pada November lalu itu berkata, bagi lelaki lain yang berpasangan dengan wanita yang lebih bekerjaya hendaklah bijak menguruskan keluarga dan tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata orang luar.

"Kena duduk semeja dan berbincang dengan isteri tentang masa depan keluarga.

"Pedulikan apa yang orang luar nak kata kerana sebagai lelaki kita harus memenuhi tanggungjawab sebagai seorang suami," katanya.

Posting tersebut menerima sebanyak 7,167 tanda suka (like) dan 214 komen.

Artikel Lain