suria

Pusat Pemeriksaan Tunggal: Malaysia Akan Bincang Dengan Singapura

Projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura dijangka siap pada 2026. - Gambar hiasan/Bernama

LABIS: Malaysia akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Singapura berhubung kemungkinan mewujudkan pusat pemeriksaan tunggal antara dua negara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, Malaysia memahami kebimbangan Singapura terhadap isu keselamatan jika hanya terdapat satu pusat pemeriksaan buat Sistem Transit Rapid (RTS) dan Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR).

"Ini adalah isu keselamatan dua negara dan saya akan berjumpa dengan rakan sejawatan dari Singapura untuk membincangkan mengenai perkara ini," kata beliau.

Ahmad Zahid yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan pembangunan semula jalan persekutuan antara Yong Peng dan Segamat di Taman Tenang Jaya di sini pada Ahad.

Beliau menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan pusat pemeriksaan tunggal dilaksanakan untuk mengurangkan kesesakan di Tambak.

Ahmad Zahid (tengah) bersama isterinya Datin Seri Hamidah Khamis (dua, kanan) pada gimik pelancaran naik taraf Jalan Persekutuan Yong Peng - Segamat pada Ahad.

Ahmad Zahid diminta mengulas mengenai laporan The Straits Times berhubung kenyataan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura bahawa tidak mungkin dapat menghapuskan pemeriksaan imigresen dan kastam (di sebelah Singapura) bagi pelancong yang ingin meninggalkan negara itu kerana ia merupakan komponen penting dalam sempadan keselamatan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sejumlah RM100 juta telah diperuntukkan untuk menaik taraf Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sultan Iskandar.

Beliau menambah bahawa RM50 juta akan diberikan oleh kerajaan, selebihnya akan ditanggung oleh kerajaan negeri (Johor).

"Kita mahu meringankan aliran lalu lintas ke Tambak, terutama kesesakan di negara ini," katanya.

Ahmad Zahid juga mengetuai pasukan petugas khas untuk mengurangkan kesesakan di Tambak.

pusat pemeriksaan tunggal, RTS, HSR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain