suria

Jamuan Guru Di Hotel Guna Duit PIBG?

PETALING JAYA: Cuti sekolah akhir tahun yang baru bermula telah dicemari dengan tohmahan yang dilemparkan terhadap golongan pendidik.

Semuanya gara-gara jamuan akhir tahun yang dianjurkan guru di beberapa sekolah dan lebih menimbulkan perasaan tidak puas hati apabila ia diadakan di hotel.

Seorang lelaki membuat dakwaan di laman sosial sehingga tular bahawa jamuan tersebut hanya meraikan guru semata-mata, sekali gus meminggirkan pelajar.

“Bagaimana dengan murid? Hanya duduk di dalam kelas sajakah? Kamu hanya tahu menghabiskan duit untuk kepentingan kamu. 

“Sepatutnya duit itu digunakan untuk murid-murid, aktiviti luar kelas dan bermacam-macam perkara,” katanya sambil memuat naik gambar sekumpulan guru di sebuah hotel terkemuka di Selangor.

Salah satu dakwaan mengenai jamuan akhir tahun guru di hotel, yang tular di media sosial.

Malah, timbul dakwaan mengenai wang yang digunakan untuk mengadakan jamuan di hotel-hotel itu menggunakan dana Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) di sekolah.

“Mereka semua (guru) dah dibayar gaji beribu sebulan. Budak-budak ni ada yang berlapar perut ke sekolah,” kata seorang lagi netizen.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarozaman Abd Razak menafikan dakwaan tersebut dengan menjelaskan bahawa kebanyakan sekolah mempunyai kelab guru yang membolehkan mereka mengumpulkan dana untuk kegunaan sendiri.

Dakwaan mengenai jamuan akhir tahun guru di hotel menggunakan dana PIBG.

Walaupun guru turut membayar yuran PIBG setiap tahun, katanya, ia tidak bermakna wang tersebut boleh digunakan untuk guru kerana setiap peruntukan perlu mendapatkan persetujuan ahli jawatankuasa (AJK) yang terdiri daripada ibu bapa.

“Bila ada kelab guru, mereka boleh ada bendahari sendiri untuk mengumpulkan sejumlah bayaran daripada guru-guru setiap bulan, untuk kegunaan khas seperti majlis perpisahan kerana guru berpindah sekolah dan persaraan termasuk jamuan akhir tahun.

“Sekolah tak ada peruntukan untuk semua itu, jadi mereka berusaha menggunakan dana sendiri. Kelab guru juga mempunyai akaun untuk simpanan dana, sekali gus memudahkan mereka mendapatkan sumbangan daripada pihak luar,” katanya kepada mStar Online.

Kamarozaman Abd Razak

Kamarozaman berkata, mengadakan jamuan akhir tahun sudah menjadi satu budaya dalam kalangan guru untuk meraikan hari atau peristiwa tertentu.

“Guru pun manusia biasa yang perlu diraikan. Murid-murid dah diraikan dalam jamuan lain terlebih dahulu di sekolah sebelum cuti bermula.

“Bila guna dana dan sumbangan di atas usaha mereka sendiri, terpulang kepada guru-guru untuk mengadakan jamuan itu di mana termasuk di hotel,” tambahnya.

Mengenai aktiviti untuk pelajar, beliau menjelaskan pelbagai program dan rancangan telah dirancang guru dan pihak sekolah sepanjang tahun.

“Pihak sekolah dan guru tidak pernah meminggirkan murid-murid. Pelbagai program untuk mereka seperti hari keluarga, hari kokurikulum dan hari sukan.

“Lagipun biasanya jamuan ini diadakan akhir tahun ini di mana murid-murid semua sudah bercuti dan mempunyai rancangan bersama keluarga masing-masing,” kata Kamarozaman.

jamuan akhir tahun, guru, PIBG, NUTP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain