suria

Tak Benar Musang King Dihantar Pulang

Foto Facebook Mohd Sallehhuddin.

PETALING JAYA: Baru-baru ini netizen digemparkan dengan khabar angin bahawa 20 kontena durian Musang King dikembalikan ke Malaysia selepas tidak dibenarkan memasuki China kononnya akibat kandungan racun serangga yang tinggi.

Namun dakwaan itu disangkal Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Malah, beliau menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas dan tidak benar.

"Buat masa ini durian segar berkulit dari Malaysia masih belum diberikan akses ke pasaran China. Daripada gambar yang ditularkan, rupa durian tidak sama dengan karakter Musang King Malaysia.

Mesej mengenai isu durian Musang King tersebar menerusi aplikasi Whatsapp.

"Ketika ini, Malaysia hanya diberikan kebenaran untuk mengeksport durian separa proses iaitu pulp dan pes serta produk-produk industri asas tani berasaskan durian," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia sedang dalam proses memohon untuk mendapatkan akses pasaran bagi buah durian dalam bentuk biji yang disejuk beku pada suhu bawah -80c melalui proses individual quick freezing (IQF) dan mengekalkan suhu pada suhu -18c.

"Ini antara kaedah terbaik bagi memastikan durian Malaysia kekal segar dan berkualiti sepanjang rantaian nilai pengeksportan," katanya.

Jelas beliau, semasa Festival Durian Malaysia di Nanning awal bulan ini, MOA mendapat kelulusan khas untuk membawa masuk 3.8 tan metrik buah durian berkulit yang disejuk beku hanya bagi tujuan promosi sahaja.

"Setakat ini, tiada notis atau makluman yang dikeluarkan General Administration of Quality Supervision, Inspection and Quarantine (AQSIQ) dan juga mana-mana kawalan kuarantin (CIQ) wilayah-wilayah di China mengenai isu ini," katanya.

Pada masa sama beliau berkata, pejabat perwakilan pertanian Malaysia di Beijing juga sedang memantau dan mendapatkan pengesahan lanjut mengenai dakwaan tersebut daripada pihak berkuasa tempatan China.

Musang King

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain