suria

‘Pengebom Berani Mati’ Didenda RM400

Gambar fail tertuduh berpakaian seperti pengebom berani mati.

PETALING JAYA: Seorang profesional dalam teknologi maklumat (IT) dari Yaman didenda RM400 kerana menyebabkan gangguan awam kerana berpakaian seperti pengebom berani mati sempena parti Halloween.

Majistret Nurul Huda Zakariya mensabitkan hukuman itu selepas Amjad Jalal Ahmed Al Dahan, 34, mengaku bersalah kerana berpakaian sedemikian di tempat awam.

Amjad Jalal melakukan kesalahan itu di apartment Armanee Terrace pada pukul 7.40 malam 28 Oktober lalu.

Dia diberikan hukuman maksimum iaitu denda RM400 di atas kesalahan itu, di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan.

Peguam yang mewakili Amjad Jalal, N. Saraswathy Devi berkata, anak guamnya hanya memakai pakaian tersebut untuk sebuah parti dan telah memohon maaf di atas kekecohan yang berlaku.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazalina Razali menggesa mahkamah untuk menjatuhkan hukuman sebagai pengajaran demi kepentingan awam, dengan menyifatkan ia sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan tiada cara untuk membezakan antara pengebom berani mati yang sebenar dan yang memakai kostum.

Terdahulu, dilaporkan seorang lelaki mencetuskan panik dalam kalangan penduduk apartment apabila dia dikesan berpakaian sebagai pengebom berani mati pada 28 Oktober lalu.

Halloween

Artikel Berikut

Artikel Lain