suria

Amah Filipina? Tunggu Dulu...

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan Filipina untuk menggantung pekerja domestik daripada bekerja di luar negara menimbulkan tanda tanya rakyat Malaysia yang mahu mendapatkan khidmat pembantu rumah dari negara itu.

Filipina kini merupakan kumpulan pekerja domestik kedua terbesar di Malaysia, selepas Indonesia.

Menurut Setiausaha Buruh, Silvestre Bello III, Jabatan Tenaga Kerja dan Pekerjaan Filipina (Dole) telah menggantung penerimaan dan pemprosesan permohonan baharu bagi sijil pekerjaan di luar negara.

Beliau berkata, tindakan itu diambil memandangkan laporan berterusan mengenai aktiviti pengambilan haram, termasuk pengambilan secara langsung.

Perintah penggantungan itu, berkuat kuasa bermula Isnin lalu sehingga 1 Disember depan.

Presiden Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Fauzi Engku Muhsein berkata, badan itu berharap penggantungan tersebut adalah sementara.

"Kita melihatnya sebagai langkah keselamatan untuk memperbaiki sistem mereka demi keselamatan dan kebajikan rakyat mereka di luar negara," katanya.

Konsul dan Setiausaha Kedua Kedutaan Filipina, Johann Veronica M Andal ketika dihubungi berkata, kedutaan itu akan mengeluarkan satu kenyataan tidak lama lagi.

Menurut Dole, 5,000 permohonan baharu untuk sijil pekerjaan di luar negara diproses setiap hari.

Dianggarkan kira-kira 75,000 permohonan akan dipengaruhi oleh perintah penggantungan.

Jabatan Tenaga Kerja Filipina dijangka menubuhkan pasukan untuk menyiasat perkara tersebut.

Artikel Sebelum

“Dahlah Fitnah, Bodoh Pula”

Artikel Berikut

Awas! Panggilan Telefon Meragukan

Artikel Lain