suria

Jasad Arwah Ibu Masih Sempurna Selepas 12 Tahun Dikebumikan

Keadaan jenazah arwah ibu Amina yang kelihatan masih dalam keadaan baik ketika proses pemindahan dilakukan pada Isnin. -Facebook/ Amina Jasmine

PETALING JAYA: "Saya tak sangka dapat jumpa arwah mak semula."

Begitu luahan Amina Mohamad, 36, yang kisah pemindahan jenazah arwah ibunya, Junaidah Sabtu yang telah 12 tahun meninggal dunia  tular di Facebook sejak Isnin lalu.

'Posting' yang dimuat naik oleh Amina itu menerima pelbagai reaksi netizen yang berasa kagum dengan kebesaran Allah 'memelihara' jenazah arwah ibunya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Alif di Johor Bahru, Johor.

Amina atau lebih mesra disapa sebagai Amy itu ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat, berkata pada asalnya dia berasa sedih apabila dimaklumkan kubur arwah ibunya terpaksa dipindahkan memandangkan tapak perkuburan tersebut bukanlah tanah wakaf.

Paparan skrin status yang dimuat naik oleh Amina mengenai arwah ibunya yang tular di Facebook.

"Memang sedih kerana kita sudah tanam, kenapa perlu 'dikacau' lagi. Tapi, saya reda kerana ia sudah ketentuan Tuhan.

"Saya anggap ia satu rahmat kerana tidak pernah terfikir akan 'jumpa' arwah mak semula selepas 12 tahun," kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Setakat ini, 'posting' tersebut telah dikongsikan sebanyak 16,233 kali dan menerima lebih 34,000 'like'.

Menurut Amy yang bekerja di sektor awam, penduduk kampung itu sebelum ini menjadikan tapak tersebut sebagai tanah perkuburan kerana ia merupakan tanah lapang.

Namun kini, penghuni di kampung itu terpaksa akur apabila pemilik sebenar tanah tersebut mahu menggunakannya untuk tujuan pembangunan.

"Saya terima panggilan daripada pak cik saudara pada pukul 2 petang Ahad memaklumkan semua jenazah di tanah perkuburan itu terpaksa dialihkan.

"Namun, jenazah arwah mak dialihkan pada Isnin kerana tidak sempat untuk diuruskan pada Ahad. Alhamdulillah, semuanya selesai dan saya turut gembira kerana kini kubur arwah ibu diletakkan bersebelahan kubur arwah bapa," katanya.

Ibu Amina, Junaidah meninggal dunia akibat demam, 12 tahun lalu.

Jelasnya, jarak antara lokasi perkuburan baharu arwah ibunya hanya 40 kilometer dari tapak perkuburan asal.

Arwah ibu Amina meninggal dunia selepas mengalami demam biasa selama tiga hari, selepas seminggu mereka sekeluarga pulang berkelah di Tanjung Balau, Kota Tinggi, kira-kira 12 tahun lalu.

Menceritakan sisi peribadi arwah ibunya pula, kata Amina, arwah tidak pernah putus memohon keampunan daripada ibunya (nenek Amina) setiap kali mereka berdua bertemu.

"Mak saya meminta ampun daripada nenek sehingga berjujuran air mata, macam kita menangis pada pagi raya.

"Nenek selalu bertanya kepada mak, kenapa perlu menangis kerana dia tidak ada membuat salah," katanya yang merasakan mungkin reda seorang ibu membuatkan jenazah arwah masih terpelihara ketika dipindahkan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain