suria

Kecoh Bila 'Geng Latah' Melepak...

PETALING JAYA: Aksi latah kadangkala menggelikan hati, namun ada juga insiden kurang enak boleh berlaku terhadap individu yang menghidap 'penyakit' ini atau orang yang berada dekat dengan mereka.

Silap hari bulan, nyawa mungkin melayang jika penyakit melatah itu datang pada waktu yang salah.

Baru-baru ini, rakaman tiga sekawan yang dimuat naik oleh Muhammad Shahzril Samsudin (gambar), 24, mencuri tumpuan netizen kerana bukan salah seorang daripada mereka sahaja yang mempunyai 'sindrom' ini, tetapi ketiga-tiga mereka saling mengusik dan akhirnya melatah.

Pemuda yang bertugas sebagai pembantu am di Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Petaling ini berkata, dia mengenali dua lagi rakannya menerusi aplikasi penstriman langsung, Bigo kerana terhibur dengan aksi latah mereka.

"Kami hanya lepak-lepak selepas berkenalan di Bigo, mulanya mereka tak tahu yang saya juga melatah.

"Jadi mulalah masing-masing menyakat. Mujur tak ada perkara yang teruk sangat berlaku," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Jelas pemuda yang mesra dipanggil Ariel itu, latah seorang lagi rakan lelaki yang turut berada dalam video tersebut sebenarnya lebih teruk sekiranya terperanjat.

Manakala, wanita dalam video tersebut pula hanya melatah dengan percakapan dan bukannya perbuatan.

Tambah Ariel, apa yang dialaminya itu adalah penyakit keturunan memandangkan arwah nenek dan bapanya turut melatah.

"Saya seperti berjangkit daripada mereka. Pernah sekali tu, bapa saya melepaskan stereng ketika memandu kerana terkejut apabila ibu menjerit ternampak seekor ular di atas jalan raya.

"Saya yang berada di belakang pun panik dan melatah. Syukur jalan yang dilalui kami itu lurus dan tidak berlaku kemalangan," katanya.

Pemuda yang berasal dari Bestari Jaya, Kuala Selangor itu juga hampir cedera apabila ayahnya membaling pisau yang sedang dipegang ke arahnya gara-gara melatah.

Namun, Ariel bersyukur kerana pisau itu tidak terkena pada dirinya.

"Tengok orang melatah ni memang seronok, tapi sebaiknya hentikanlah perbuatan menyakat orang seperti kami.

"Ia boleh berjangkit dan paling buruk boleh membahayakan nyawa," ujarnya.

melatah

Artikel Sebelum

Harga Petrol, Diesel Naik

Artikel Berikut

Artikel Lain