suria

Bellew Perlu Bayar Pampasan Empat Bulan Kepada MAB

Peter Bellew. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd (MAB), Peter Bellew perlu membayar pampasan bersamaan empat bulan gaji kepada syarikat penerbangan itu berikutan kegagalan beliau mematuhi syarat notis peletakan jawatan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, Bellew gagal mematuhi syarat serahan notis bertempoh enam bulan mengikut perjanjian pelantikan, sebaliknya bekas peneraju MAB itu menyerahkan notis bertempoh hanya dua bulan bagi peletakan jawatan CEO baru-baru ini.

“Notis kontrak MAS untuk CEO ini adalah selama tiga tahun, dan dalam kontrak tersebut, kedua-dua belah pihak boleh memberikan notis bertempoh enam bulan kepada satu sama lain. 

“Dalam kes CEO MAS (Bellew), beliau telah meletakkan jawatan dan memberikan notis kurang empat bulan (berbanding notis bertempoh enam bulan sebelum meletakkan jawatan). Jadi, kita terima (notis tersebut) dan beliau (Bellew) perlu bayar (pampasan) kepada kita (bersamaan) bagi empat bulan (gaji),” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Bagaimanapun, Johari tidak menjelaskan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh Bellew kepada syarikat penerbangan tersebut.

Bellew menyerahkan notis peletakan jawatan sebagai CEO MAS pada Oktober lepas dan Kapten Izham Ismail, yang merupakan Ketua Pegawai Operasi MAB, akan menggantikan beliau berkuat kuasa 1 Disember 2017. - Bernama

MAS, MAB, Peter Bellew

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain