suria

Waspada Gelombang Kedua Banjir

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Penduduk di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia perlu terus bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku berikutan proses pertukaran monsun yang dialami kini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata beliau menjangkakan proses pertukaran monsun akan selesai sepenuhnya akhir November ini.

"Jabatan Meteorologi telah meramalkan gelombang kedua akan berlaku sehingga tamat pertukaran monsun ini, iaitu dalam minggu pertama November.

"Tetapi melihat kepada keadaan, saya jangka sehingga hujung bulan ini ia baru akan selesai sepenuhnya kerana keadaan cuaca pun sangat tidak menentu sekarang," kata beliau kepada wartawan di sini Rabu.

Sabtu lepas, Pulau Pinang dilanda banjir luar biasa sehingga melumpuhkan sistem infrastruktur di negeri itu dan mengorbankan tujuh nyawa.

Mengenai dana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk projek mitigasi banjir di Pulau Pinang, Wan Junaidi berkata kementerian itu melalui Jabatan Pengaliran dan Saliran bersedia untuk melaksanakan kajian teknikal ke atas sistem dan infrastruktur sedia ada serta yang diperlukan.

Katanya antara aspek yang akan diberi perhatian ialah sistem perparitan dan saliran, kolam takungan dan penambakan pesisir pantai."Banjir luar biasa pada Sabtu lepas menunjukkan kemudahan mitigasi banjir sedia ada tidak mencukupi," katanya.

Najib dalam lawatannya ke Pulau Pinang pada Selasa telah mengumumkan bantuan RM1 bilion untuk melaksanakan 13 projek mitigasi banjir di negeri itu.

Dalam hal lain, Wan Junaidi berkata satu kolokium mitigasi banjir akan diadakan pada Januari depan untuk melihat model terbaik dan berkesan untuk membendung ancaman banjir di setiap negeri di Malaysia.

Terdahulu semasa melawat Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa di sini, Wan Junaidi berkata beliau sendiri akan menyediakan kertas cadangan untuk dikemukakan kepada Kabinet mengenai permohonan sekolah itu untuk melanjutkan sewaan sebidang tanah seluas 1.2 hektar yang dipunyai kerajaan Persekutuan untuk tujuan pembinaan sebuah kompleks sukan sekolah itu, daripada 30 tahun kepada 99 tahun.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. - BERNAMA

banjir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain