suria

Sultan Selangor Berkenan Tarik Balik Tauliah Zamihan

PETALING JAYA: Sultan Selangor menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkenan supaya tauliah mengajar yang diberikan kepada Zamihan Mat Zin di negeri itu ditarik balik.

Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berbincang dengan pihaknya sebelum menitahkan larangan tersebut kepada Mais.

Hanafisah berkata, baginda turut berkenan supaya keahlian Zamihan dalam Jawatankuasa Tauliah Negeri Selangor dibatalkan.

"Tindakan ini adalah lanjutan daripada satu ceramah agama yang disampaikan oleh Dr Zamihan Mat Zin yang mengandungi perkataan-perkataan yang bersifat rasis, kurang beradab dan kritikan melampau terhadap Institusi Diraja.

"Tambahan pula, ceramah agama yang disampaikan oleh beliau diadakan di Masjid Diraja, yang ceramah seperti ini tidak sepatutnya berlaku," kata Hanafisah dalam satu kenyataan pada Isnin.

Hanafisah berkata, Sultan Selangor menitahkan agar semua masjid dan surau di negeri itu membuat rakaman video bagi setiap ceramah yang diadakan bagi tujuan pemantauan kandungan yang disiarkan. 

Baginda juga menitahkan penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah di seluruh Selangor hendaklah dihadkan di dalam masjid dan surau dan bukan di luar kawasan kecuali untuk azan dan bacaan ayat suci al-Quran.

Tambah Hanafisah, Sultan Selangor juga mengingatkan kepada semua rakyat negeri untuk menghormati prinsip-prinsip utama yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan demi kestabilan dan keamanan negara.

Zamihan mencetuskan kontroversi selepas mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berhubung isu kedai dobi yang dikhaskan untuk pelanggan Islam.

Zamihan dibebaskan selepas dua hari direman berhubung siasatan di bawah Akta Hasutan pada Sabtu lalu.

Artikel Sebelum

Dah Tak Sabar Nak Check-In!

Artikel Berikut

13 Lokasi Kepala Air Dikesan

Artikel Lain