suria

45 Militan Warga Asing Ditahan

KUALA LUMPUR: Empat puluh lima pengganas melibatkan warga asing yang dikategorikan sebagai 'Foreign Terrorist Fighter' (FTF)  ditahan dalam beberapa siri operasi tahun ini, kata Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Daripada jumlah itu, sembilan membabitkan anggota kumpulan Abu Sayyaf (ASG), Fetullah Turki (3), manakala masing-masing seorang adalah pengganas Albania yang mempunyai jaringan dengan militan Negara Islam (IS) dan Jamaatul Mujahideen.

Sementara itu, baki 31 individu lagi terdiri daripada pelbagai warganegara yang disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas Daesh termasuk tiga rakyat Iraq yang menjadi Komander Daesh di selatan Iraq.

Ketua Polis Negara berkata, penahanan militan menerusi operasi bermula Januari 2017 hingga 6 Oktober lalu itu berdasarkan maklumat bahawa pengganas pelbagai negara mula menyusup keluar selepas kumpulan Daesh kehilangan sebahagian besar kawasan yang dikuasainya di Iraq dan Syria.

Beliau berkata, anasir itu juga diarahkan untuk menyusup masuk ke negara di seluruh dunia untuk melancarkan serangan bagi pihak Daesh.

"Maklumat yang diperoleh mengesahkan wujud kumpulan pengganas asing yang bergabung dengan Daesh seperti kumpulan ASG dan Jamaatul Mujahideen dari Bangladesh mengarahkan anggotanya untuk melancarkan serangan di Malaysia.

"Anggota ASG yang memasuki negara ini disyaki merancang untuk melancarkan serangan di sini, manakala yang lain menyusup masuk untuk berlindung, mengumpul dana dan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi untuk melancarkan serangan ke atas negara ketiga," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Mohamad Fuzi berkata, setakat ini, 13 suspek telah dihadapkan ke mahkamah mengikut kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

"Seramai 12 suspek pula diusir ke negara asal untuk tindakan susulan pihak berkuasa negara berkenaan, seorang suspek dikenakan perintah tahanan di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) sementara tujuh suspek sudah dibebaskan.

"Kita juga masih menjalankan siasatan terhadap 12 suspek," katanya.



FTF, Abu Sayyaf, Fuzi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Mayat Aisyah Akhirnya Ditemui

Artikel Lain