suria

Cemas Dua Anak Dilarikan Dalam Kereta

Keadaan kereta Myvi yang dilarikan suspek selepas terlibat kemalangan. Foto Sinar Online

JOHOR BAHRU: Rutin harian seorang pembantu klinik menghantar dua anak ke rumah bapanya bertukar menjadi mimpi ngeri.

Wanita berusia 32 tahun itu tiba rumah bapanya di Taman Pulai Indah di sini, bersama anak lelaki dan anak perempuan, masing-masing berusia lima dan tiga tahun pada kira-kira pukul 7.45 pagi Khamis.

Dengan kedua-dua anaknya di dalam kereta dengan enjin masih dihidupkan, dia memberhentikan kenderaan untuk mengambil payung di bahagian belakang berikutan hujan lebat.

"Seorang suspek lelaki secara tiba-tiba masuk ke dalam kereta sebelum melarikannya," kata Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad.

Adik lelaki mangsa yang menyaksikan kejadian itu mengejar kereta yang dipandu suspek.

Noor Hashim berkata, suspek tidak sedar terdapat kanak-kanak di dalam kereta ketika itu.

Suspek kemudian meninggalkan anak perempuan mangsa beberapa meter dari tempat kejadian, manakala anak lelakinya di pintu masuk taman perumahan.

"Polis menemui kereta tersebut di kawasan Ulu Choh pada kira-kira pukul 8.45 pagi dan dipercayai ditinggalkan suspek selepas ia melanggar belakang sebuah lori," kata Noor Hashim.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 363 Kanun Keseksaan, dan polis sedang memburu suspek. 

Artikel Sebelum

Zamihan Direman Dua Hari

Artikel Berikut

Artikel Lain