suria

Ditahan Seludup Dadah Ke Negara Jiran

BUKIT MERTAJAM: Dua lelaki termasuk seorang warga Thailand disyaki anggota sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran ditahan polis di Bukit Tengah, di sini malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dua lelaki berusia 29 dan 35 tahun itu ditahan 11.30 malam selepas berada dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

"Pemeriksaan awal dalam kerata dinaiki mereka, polis menemukan satu keping aluminium foil mengandungi tujuh biji pil eramin 5 dan lapan biji pil disyaki yaba dalam paket lutsinar," katanya di sini Sabtu.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut di bilik hotel yang disewa dua lelaki itu di Taman Sejahtera, di sini polis menemukan 35.85 gram disyaki syabu dan lima biji pil eramin 5.

Katanya berdasarkan siasatan, dua lelaki yang tidak bekerja itu, merupakan anggota sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah ke Thailand serta terlibat dalam kegiatan berkenaan sejak awal tahun ini.

Nik Ros Azhan berkata siasatan awal polis mendapati mereka mendapatkan bekalan dadah di negara ini sebelum membawa masuk ke negara jiran dan mendapat upah ribuan ringgit bagi tugasan itu.

"Nilai dadah yang dirampas RM2,625 dan kedua-dua lelaki berkenaan positif dadah. Mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain katanya polis menyerbu sebuah reban ayam dalam kebun getah di Kampung Bukit Teh, di sini semalam dan merampas  35.40 gram dadah jenis heroin bernilai RM885.

Katanya semasa serbuan 6.30 petang itu, terdapat dua lelaki dan mereka berjaya melarikan diri ke dalam kebun getah sebaik menyedari kehadiran polis.

"Dua lelaki itu dipercayai menjadikan reban ayam tersebut sebagai tempat untuk menjual dan mengedar dadah bagi mengelak dikesan polis. Usaha memburu suspek giat dijalankan," katanya. - BERNAMA

dadah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jumpa Duit Dalam Rumah Pusaka

Artikel Lain