suria

Guna Pistol Taser Halang Wanita Bunuh Diri

Abang Ahmad Abang Julai.

KUCHING: Polis terpaksa menggunakan pistol taser untuk menghalang seorang wanita daripada membunuh diri di Kampung Tengah Bintawa di sini, awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata wanita berusia 40 tahun itu menyimbah dirinya dengan minyak petrol dan mengugut untuk membunuh diri sebaik polis tiba di lokasi kejadian.

Polis menghantar seunit kenderaan pelbagai guna sejurus selepas menerima panggilan kecemasan daripada ibu wanita itu kira-kira pukul 12.30 pagi Khamis.

"Anggota saya cuba memujuk wanita itu supaya melupakan rancangan tetapi tidak berjaya. Kami tiada pilihan melainkan menggunakan pistol taser untuk menghalangnya daripada membakar diri," katanya.

Polis merampas sebotol minyak petrol, sebilah pisau kek dan pakaian kepunyaan wanita itu yang ditahan dan direman selama empat hari.

Dia ditahan dibawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri.

"Kami akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan wanita itu menjalani penilaian psikiatri," kata Abang Ahmad.

Beliau berkata polis masih mengenal pasti motif wanita itu mahu membunuh diri.

pistol taser

Artikel Sebelum

Artikel Lain