suria

“Kulit Durian Tak Salah”

Kebanyakan peniaga durian kini menjual raja buah itu secara timbang kerana faktor kekurangan bekalan selain menumpukan kualiti.

PETALING JAYA: Durian tidak boleh dipisahkan dengan selera rakyat Malaysia, malah menjadi kegilaan ramai lebih-lebih lagi jika rasanya yang sedap, lemak dan manis. 

Tapi kalau harganya melambung tinggi, nanti ada pula yang ‘naik hantu’ hingga mahu memboikot terutama peniaga yang menjualnya secara timbang.

Tular di media sosial mengenai bantahan netizen terhadap jualan durian mengikut kaedah timbang dengan hashtag #boikotduriantimbang.

Ada segelintir pengguna mendakwa harga durian yang ditimbang tidak masuk akal, malah boleh mencecah RM100 sebiji. 

“Kulit saja dah berapa kg (kilogram), berat isi ada lah berapa ulas. Sedih ni sebab mahal sangat,” kata Mumy Aryan Rayqal di laman sosial Facebook.

Kempen boikot durian timbang yang tular di media sosial.

Malah kata Mohd Nor Azlan Ghazi: “Makan durian, nak buang kulit pun sayang sebab mahal sangat.”

Noor Shila berkata: “Pernah beli sebiji durian harga RM30 tetapi isi dalam ada tiga ulas saja.”

Namun ada segelintir netizen menjadikan durian dijual secara timbang sebagai bahan gurauan: “Setuju timbang, tapi timbang isi saja, kulit buang.”

Isu durian timbang mendapat reaksi pengusaha yang menjelaskan ia disebabkan kekurangan bekalan raja buah itu di pasaran.

Satu lagi bentuk kempen memboikot durian timbang yang tular di media sosial.

Cheah Kim Wai, 36, dari Durian SS2 berkata, kekurangan bekalan akibat faktor cuaca, bukan musim durian, selain ia turut dieksport ke luar negara seperti China.

“Jadi, kita tidak boleh buat jualan secara longgok. Bekalan yang tidak banyak ini perlu dilakukan secara timbang.

“Lainlah musim durian terutama pada Disember. Kita boleh jual dengan cara yang lain seperti bufet,” katanya yang menjual durian selama 18 tahun.

Sementara itu, Mohd Yunus Sheikh, 33, berkata, gerainya hanya menjual durian secara timbang kerana mementingkan kualiti berbanding kuantiti.

Konsep jualan itu dikehendaki pelanggannya di Durian King TTDI di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur kerana mereka hanya mahu membeli buah yang baik.

“Kalau kita jual buah, memang ditimbang sekali dengan kulitnya. Tapi, janganlah salahkan kulit durian kalau harganya mahal," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan bukan semua durian dijual timbang itu berkualiti, Yunus menafikannya sambil berkata: "Mana-mana durian ada yang elok dan tak elok. Kami akan beritahu pelanggan yang mana baik, mana banyak isi. Jadi, mereka boleh buat pilihan bijak dan tengok dulu sebelum beli."

Netizen turut berpandangan kulit durian boleh dibuat ulam.

Walaupun kempen memboikot durian timbang terus tular di media sosial sebagai tanda protes, namun bukan semua netizen menyokong tindakan itu.

Nizam Ahamad berkata: “Ada kempen boikot durian timbang. Pada aku kerja bo***. Kulit menjaga isi supaya ‘fresh!,” 

“Durian timbang kira dengan kulit sekali. Tak ramai yang tahu kulit durian sedap dibuat ulam cecah sambal kicap,” kata Mohd Hafiz Harun.

durian

Artikel Berikut

Artikel Lain