suria

Projek ECRL Pencetus Perubahan Malaysia

Najib (tengah) bersama Kaunselor Negara China, Wan Yong (empat, kiri) melihat replika laluan Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek ikonik itu pada Rabu. - Bernama

KUANTAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pembinaan Landasan Kereta api Pantai Timur (ECRL) merupakan pencetus perubahan dan haluan pemikiran bagi Malaysia kerana paling utama ia akan memendekkan masa perjalanan pergi dan balik ke pantai timur Semenanjung.

Beliau berkata,  perjalanan kereta api dari Terminal Pengangkutan Bersepadu  (ITT) di  Gombak, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan dijangka kurang daripada empat jam berbanding purata lapan jam malahan hingga 12 jam atau lebih semasa musim perayaan , menjadikan ECRL medium pengangkutan pilihan yang lebih selesa  sebaik ia siap dibina.

“Projek ECRL juga akan menentukan rentak kesan limpahan ekonomi  dan impak sosial yang positif bagi negeri-negeri di pantai timur. Ia akan menjadi pemangkin bagi kesaksamaan ekonomi antara pantai barat dan pantai timur kerana akan turut merangsang pelaburan, menggalakkan kegiatan komersial, mewujudkan pekerjaan yang mencukupi, memudahkan  pendidikan berkualiti  dan merancakkan industri pelancongan di Pahang, Terengganu dan Kelantan,” katanya.

Najib berkata demikian dalam ucaptama semasa majlis pecah tanah projek ECRL di tapak projek KotaSas Sentral di sini pada Rabu yang turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri Majlis Negara China Wang Yang, Pengarah Eksekutif dan Pengerusi China Communications Construction Company Ltd (CCCC)  Liu Qitao dan Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan tiga Menteri Besar negeri-negeri pantai timur Datuk Seri Adnan Yaakob (Pahang), Datuk Seri Ahmad Razif  Abdul Rahman (Terengganu) dan Datuk Ahmad Yakob (Kelantan). - Bernama

ECRL

Artikel Sebelum

Artikel Lain