suria

Pelancong China Disangka 'Hilang', Rupanya Bot Tersangkut Batu Karang

KOTA KINABALU: Sepasang pelancong China diselamatkan apabila terkandas di kawasan terumbu batu karang di daerah Semporna.

Pelancong berkenaan telah menimbulkan keadaan panik di kalangan kakitangan Pusat Peranginan Mabul Paradise apabila mereka gagal pulang ke tempat penginapan selepas melakukan aktiviti berkayak pada Jumaat malam.

Pasangan itu, Zhai Zhe, 26 dan Qin Yiping, 28 mula melakukan aktiviti kayak pada kira-kira pukul 5.30 petang.

Operator kayak dan kakitangan pusat peranginan itu serta merta memaklumkan pasukan keselamatan pada pukul 8 malam apabila mereka gagal pulang ke situ.

Komander Esscom, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, pasukan mencari diketuai pegawai pemerintah Marin Semporna, Asisten Superitendan Safardi Abd Samad mula bertindak susulan laporan yang diterima.

"Pencarian bermula di sekitar pusat peranginan itu sebelum mereka ditemui terkandas di kawasan batu karang kira-kira 500 meter dari situ pada kira-kira pukul 9 malam," katanya.

Pemeriksaan mendapati kedua-duanya kepenatan dan tidak dapat terus mengayuh untuk pulang ke pusat peranginan kerana ketika itu air surut.

"Kayak itu tersangkut pada batu karang kerana air surut," kata Wan Bari.

Beliau juga memuji tindakan pantas kakitangan pusat peranginan itu memaklumkan pasukan keselamatan sebaik menyedari kehilangan kedua-dua pelancong itu.

Semporna, batu karang, Mabul Paradise

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain