suria

Anthony Loke Nafi Sokong Hudud

Anthony Loke.

KUALA LUMPUR: Anthony Loke menafikan beliau menyokong hudud meskipun timbul video dakwaan berkenaan yang kini tular.

Ahli Parlimen DAP-Seremban itu berkata, partinya sentiasa membantah hudud, walaupun ketika bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Beliau menambah, kenyataannya dalam ceramah semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) telah disalah tafsir.

"Dalam ucapan saya semasa ceramah, saya kata 'jika anda tidak curi atau rompak, jadi anda tidak sepatutnya takut hudud'.

Loke kini mendakwa bahawa "jangan takut terhadap hudud" tidak sama dengan menyokong hudud. 

"Saya kata 'jangan takut hudud', tetapi tidak bermakna kita sokong hudud. Saya menegaskan dalam ucapan saya bahawa hudud bukan sebahagian daripada konsesus Pakatan Rakyat dan bukan pertimbangan untuk PRU-13.

"Ia bertujuan untuk menangkis cubaan pencabar politik kita yang menggunakan isu hudud untuk menakut-nakutkan kaum Cina supaya menolak Pakatan Rakyat," katanya kepada pemberia di Parlimen, Isnin.

Loke berkatan demikian bagi mengulas tuntutan Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng supaya memohon maaf kerana menyokong pelaksanaan hudud.

Teck Meng yang merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam pada Ahad mengkritik Loke kerana cuba menyalahkan orang lain berhubung video empat tahun lalu yang kini tular.

"Ia seolah-olah ahli politik DAP, tidak kira berapa lama mereka, tidak bertanggungjawab terhadap tindakan mereka, boleh berkata apa sahaja yang mereka suka dan sentiasa menjadi kesalahan orang lain," katanya.

Kerajaan dan PAS berkali-kali menafikan bahawa Rang Undang-undang (RUU) Ahli Persendirian yang dibawa Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan membawa kepada pelaksanaan hudud di Malaysia.

RUU yang mencadangkan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bertujuan untuk meningkatkan had hukuman bagi kesalahan syariah.

hudud

Artikel Lain