suria

Dua Bot Nelayan Vietnam Ditahan Tangkap Ikan Di Perairan M'sia

Gambar hiasan.

KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan Vietnam pada Jumaat lepas, di kedudukan kira-kira 28 batu nautika timur laut Tanjung Sedili di sini, kerana menangkap ikan di perairan negara ini.

Pengarah Maritim Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud berkata, kedua-dua bot berkenaan dikesan kapal ronda APMM yang sedang melakukan rondaan di kawasan tersebut.

"Semasa kejadian, satu daripada bot tersebut cuba melarikan diri dari pemeriksaan namun berjaya ditahan pada 12.40 tengah hari. Sebuah bot lagi ditahan pada 1.30 tengah hari," katanya menerusi kenyataan di sini, Isnin.

Beliau berkata, kedua-dua bot didapati membawa muatan kira-kira 10 tan ikan bercampur-campur dan 300 kilogram sotong kering.

Katanya, kedua-dua bot berserta 24 kru berusia 19 hingga 55 tahun kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985.

Dalam kes lain, Amran berkata pihaknya turut menahan dua kapal di perairan Tanjung Sedili, pada Jumaat dan Sabtu lepas kerana berlabuh di kawasan yang tidak dibenarkan.

Beliau berkata, anggota APMM yang melakukan Ops Perkasa Selatan menahan kapal MT Puteri Aur pada 6.30 petang, Jumaat lepas manakala MT Frontek, 2 petang, keesokan harinya.

"Kedua-dua kapal yang berdaftar di Pasir Gudang di Johor Bahru dan Basseterre di Saint Kitts and Nevis itu didapati berlabuh di kawasan yang tidak dibenarkan, gagal memaklumkan ketibaan di perairan Malaysia serta gagal membayar dius api," katanya.

Katanya, pemilik kapal boleh didakwa mengikut Seksyen 491B (1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Seksyen 3 Akta Dius Api Persekutuan 1953.

Kapten kapal dan dua kru kedua-dua kapal dibawa ke Pejabat Maritim Malaysia Tanjung Sedili untuk tindakan selanjutnya, katanya.

"Penahanan ini merupakan kes ketujuh tahun ini oleh APMM Tanjung Sedili. Kita akan melipatgandakan operasi supaya para kapal mematuhi undang-undang negara ini," katanya. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain