suria

Penerbangan MAS Dari Auckland Ditangguh Kerana Isu Teknikal

PETALING JAYA: Penerbangan Malaysia Airlines yang dijadual berlepas dari Auckland ke Kuala Lumpur pada tengah malam Sabtu tertangguh selama 47 jam kerana 'masalah teknikal'.

Syarikat penerbangan itu telah memohon maaf di laman Facebooknya atas kesulitan yang menyebabkan penumpang terkandas di lapangan terbang di New Zealand kerana kebanyakan hotel berhampiran telah habis ditempah gara-gara konsert penyanyi Adele.

Penerbangan MH132 pada mulanya dijadualkan semula pada pukul 6.45 pagi hari yang sama, tetapi telah ditangguhkan lebih lama dan hanya bersedia untuk berlepas pada tengah malam Isnin.

MAS berkata pesawat berkenaan memerlukan beberapa penggantian segera yang tidak terdapat di New Zealand atau Australia.

"Keselamatan menjadi keutamaan bagi Malaysia Airlines. Penangguhan perlu dilakukan kerana kakitangan perlu menangani masalah teknikal pada pesawat A330-300.

"Pesawat itu memerlukan penggantian segera bahagian-bahagian yang tidak tersedia di New Zealand dan Australia," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tidak dapat dipastikan berapa ramai penumpang telah terjejas, tetapi pesawat A330-300 biasanya boleh membawa seramai 277 penumpang.

MAS berkata pihaknya sedang bekerja keras untuk memudahkan semua penumpang.

Menurut laporan, penumpang yang terkandas telah tidur di atas kerusi dan bangku di lapangan terbang.

"Tetamu yang terjejas telah diberikan baucar makan. Malaysia Airlines sedang berusaha untuk memastikan semua penumpang ditempatkan di hotel berhampiran," kata MAS.

MAS, Auckland, MH132, A330-300

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain