suria

Sultan Johor Berkenan Anugerahkan 'Datuk' Kepada Tiga Individu

Askar Timbalan Setia Negeri Johor membawa bendera negeri untuk dipasang di tiang Tugu Peringatan, Istana Besar sempena Istiadat Letak Kerja pada sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di Istana Besar, Selasa. Foto:Bernama

JOHOR BAHRU: Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah tersenarai antara 100 individu yang dikurniakan darjah kebesaran dan pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada Khamis ini.  

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, Raja Iskandar Dzulkarnain akan menerima Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Kedua (DK II), namun ia tidak membawa sebarang gelaran.  

Dalam majlis penganugerahan berkenaan, Sultan Johor akan juga mengurniakan dua darjah yang masing-masing membawa gelaran 'Datuk' kepada tiga penerima.

Kedua-dua darjah itu ialah Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) kepada seorang penerima dan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada dua penerima. 

Abdul Rahim menyatakan demikian dalam sidang media di sini, Selasa.  

Sejumlah 31 orang menerima Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ).  

Tujuh orang dijangka menerima Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Pertama (PSI I);50 menerima Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Kedua (PSI II) dan lapan menerima Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Ketiga (PSI III).   

Nama penuh penerima akan dikeluarkan kepada media dalam masa terdekat. 


Menurut Abdul Rahim kesemua pengurniaan itu dilakukan mengikut Fasal 7(2)(e) Bahagian Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1985 tanpa ada individu tertentu memberi cadangan atau syor kepada Sultan. 

"Mereka yang menerima anugerah adalah golongan yang telah banyak menyumbang pembangunan kepada Johor, menjaga kebajikan rakyat, setia, berwibawa, berintegriti dan berjasa kepada baginda," kata Abdul Rahim. -Bernama

Anugerah, Sultan Ibrahim, Datuk

Artikel Lain